Covid19Semasa

Rakyat biasa, golongan kenamaan atau selebriti perlu ikut SOP : Sultan Kelantan

Baginda zahir kebimbangan atas peningkatan mendadak kes positif Covid-19

KOTA BHARU : Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar semua rakyat Kelantan, perantau, golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, baginda menitahkan larangan itu berikutan penularan varian Afrika Selatan B:1:351 yang turut dikesan di Kelantan berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Menurutnya, Baginda menzahirkan kebimbangan di atas peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak pertengahan bulan April lalu daripada dua angka hingga mencecah lebih 400 kes hampir setiap hari.

“Baginda berasa amat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan yang masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kelantan hampir memenuhi kapasiti. Ia turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada yang terpaksa ditempatkan di wad biasa,” – Sultan Kelantan / Sultan Muhammad V

Hospital lapangan di Padang Perdana, Kelantan

Menurutnya, baginda turut bertitah bahawa jumlah pesakit yang meningkat telah memaksa Kerajaan Negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana di sini dan itu menunjukkan situasi yang kritikal di Kelantan.

Bagi para peniaga yang berhasrat untuk teruskan perniagaan ketika pandemik ini, Baginda menyarankan mereka supaya mengutamakan pengurusan perniagaan secara dalam talian.

“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, baginda juga bersimpati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19. Baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar penularan Covid-19 akan dapat dibendung secepat mungkin dan tindakan kolektif yang diambil oleh rakyat akan dapat segera melandaikan lengkuk jangkitan yang membimbangkan ini,” – Sultan Kelantan / Sultan Muhammad V

Baru-baru ini, sudah banyak berita mengenai isu antara dua darjat di mana golongan ‘kayangan’ diberikan layanan istimewa dalam mengenakan denda melanggar arahan SOP berbanding dengan rakyat biasa.

Selebriti mahupun golongan kenamaan yang memiliki pengaruh yang besar seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada para pengikut mereka, sebaliknya mereka menyalahgunakan kelebihan yang diberikan kepada mereka.

Oleh itu, pematuhan SOP bukanlah hanya ditujukan kepada rakyat biasa, malah semua golongan masyarakat tidak kira jawatan, pangkat dan status haruslah bersama-sama berganding bahu bagi mengurangkan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin naik sejak akhir-akhir ini.

K! ONLINE

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button