KOTA BHARU 26 Mac : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan jemaah berumur 70 tahun ke atas untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di seluruh masjid di negeri ini bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata bilangan jemaah yang dibenarkan untuk hadir ke masjid adalah 50 peratus daripada kapasiti dan keluasan masjid.
“Selain itu kuliah agama termasuk kelas Al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti dan keluasan masjid dengan penjarakan satu meter antara jemaah. Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini,” – Yang Dipertua MAIK – Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Beliau berkata perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Menurut beliau, pihak MAIK juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sebarang kegagalan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar