SUNGAI PETANI 22 Mac : Seorang wanita warga emas dan anak perempuannya lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di Tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, kira-kira 150 km dari Sungai Petani Kedah.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Hasmah Mat Isa, 69, dan anaknya Noraiza Hashim, 28.
“Siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.”
“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari balai Serdang dengan dibantu oleh balai Selama, Perak dan Pasukan Penyelamat Di Air dari Sungai Petani.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mayat Hasmah dibawa keluar oleh pada 8.40 malam manakala mayat anaknya kira-kira 10 minit kemudian.
“Kereta Proton Persona itu dibawa naik ke permukaan pada 11 malam tadi,” katanya.
Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.