

PUTRAJAYA 18 Mac : Suntikan vaksin COVID-19 bukan faktor utama kematian seorang jururawat Hospital Pulau Pinang setelah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata merujuk pada keputusan autopsi forensik yang telah dilakukan, jururawat yang berusia 45 tahun itu meninggal dunia berpunca daripada penyakit serangan jantung.
“Jururawat berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung lima hari selepas vaksinisasi, tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan,” – Tan Sri Dr Noor Hisham
Berikutan kes kematian tersebut, pihak polis sedang mengenal pasti penyebaran berita palsu di laman sosial berkenaan kes kematian jururawat yang disebabkan oleh vaksin COVID-19.
Tan Sri Dr Noor Hisham memberi jaminan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat dan tidak merbahaya.
Terdahulu, menurut sinarharian, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 45 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya di dalam bilik tidur pada jam 2 pagi.
Menurutnya, mangsa yang mempunyai penyakit darah tinggi itu baharu sahaja mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada 12 Mac lalu.
Beliau berkata, suami mangsa memaklumkan bahawa isterinya mengadu lenguh badan setelah menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja.
Sehingga hari ini jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia terus merekodkan kadar penurunan dengan mencatat jumlah 1,213 kes positif, tiga kematian dan 1,503 kes sembuh. Menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh COVID-19 sebanyak 312,461.
Rakyat Malaysia terus dinasihatkan untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Disediakan oleh Pelatih Fakulti Komunikasi Massa Penyiaran – Nurshazlin Shahrom