PendidikanSemasa

Hanya Tuhan yang tahu tatkala Haikal, Aminur Rashid menatap wajah ayah mereka buat kali terakhir

Diduga kehilangan mereka yang disayangi waktu bertarung SPM 2020

Hari ketiga Sijil Peperiksaan Malaysia, SPM, semalam menyaksikan beberapa ujian berat ditempuhi calon.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Mereka kehilangan ayah tercinta di waktu yang sangat sukar pada masa mereka berjuang menjawab peperiksaan demi hala tuju masa depan.

Begitu kuat ujian yang mereka tanggung dan ketabahan mereka harus dicemburui serta sokongan  harus terus diberikan kepada mereka.

Di Kuala Kangsar semalam – ramai warga net yang sebak malah menitiskan air mata apabila mengetahui kisah Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.

Kisah berat ditanggung Haikal tular di media sosial sehingga mengundang simpati warganet.

Muhammad Haikal masih bersedih selepas kehilangan ayah tercinta. – Foto: FB Badariah Mohd MohaidinHaikal diberi kesempatan untuk menatap wajah terakhir jenazah ayahnya sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Suasana hiba itu dikongsikan oleh guru kaunseling sekolah berkenaan, Badariah Mohd Mohaidin menerusi Facebooknya.

Muhammad Haikal ditenangkan ibunya sebelum masuk ke dewan peperiksaan. – sumber FB Badariah Mohd Mohaidin

Menurutnya, jenazah dibawa ke sekolah kerana pelajar itu tidak sempat melawat ayahnya di Hospital Taiping disebabkan perlu menduduki peperiksaan.

“Ayahnya meninggal dunia pada Selasa akibat masalah jantung dan kencing manis setelah dimasukkan ke hospital lebih seminggu lalu.

“Selepas menerima khabar duka itu, dia ada pergi hospital (Selasa) untuk melihat jenazah ayahnya. Tetapi setibanya di sana, dia tidak dibenarkan masuk,”

Badariah berkata, pihak sekolah bagaimanapun membenarkan permintaan keluarganya bagi membolehkan Muhammad Haikal menatap wajah ayahnya sebelum dikebumikan di Kampung Tahan, Sauk kira-kira jam 11.30 pagi semalam. (Khamis)

“Haikal perlu menduduki peperiksaan sehingga petang. Jadi, peluang 15 minit itulah untuk dia melihat jenazah ayahnya sebelum menjawab kertas Sejarah yang bermula jam 10 pagi.”

“Ketika waktu rehat, nampak dia menangis dengan tidak lalu makan dan minum. Kita sediakan bilik khas untuknya memandangkan emosinya masih tidak stabil,” katanya.

Menurutnya, pelajar itu merupakan anak sulung yang menjadi sandaran kepada dua adiknya ketika ibunya menjaga ayahnya di hospital sebelum ini.

Kisah lain pula dikongsi oleh seorang lagi abang kepada calon SPM, iaitu Aminur Rashid Zainurin.

Aminur Rashid berkongsi kesedihan keluarganya lebih-lebih lagi adiknya, Ammar Rahimi Zainurin yang sejurus sahaja tamat peperiksaan Sejarah semalam.

Adiknya, terus berlari ke surau untuk melihat jenazah arwah ayahnya yang meninggal dunia Subuh semalam.

Hati mana yang tidak sebak melihat air mata adik tumpah melihat sekujur kaku ayah.

Dari pagi semalam sebaik disahkan ayah tidak lagi bernyawa, Ammar Rahimi tidak dapat bersama arwah kerana perlu menjawab peperiksaan.

Ammar Rahimi menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Height, di Bukit Idaman, Selangor.

Dalam ciapan di twitternya @aminurrshid berkata kini hanya tinggal dua beradik bersama ibunya, sebagai abang yang tua, beliau akan menggalas tanggungjawab menjaga keluarganya setelah ketiadaan ayah.

Jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong, Batu Caves, Selangor.

UMMAHTODAY yang menghubungi Aminur Rashid, berkata Ammar Rahimi sempat menatap wajah terakhir ayah  dan sempat juga  menunaikan  solat jenazah.

Ramai mengucapkan takziah atas pemergian ayah mereka dan ada yang tidak dapat membayangkan sekiranya perkara sama berlaku ke atas mereka.

Kami mendoakan supaya keluarga adik Haikal dan Adik Ammar Rahimi diberi kekuatan dalam menempuhi ujian ini. Amin

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button