PUTRAJAYA : Tinggal dua hari lagi Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, dilaksanakan.
Keputusan sama ada ia dilanjutkan atau dilonggarkan sekali menjadi tanda tanya seluruh rakyat Malaysia.
Hari ini (Selasa) dikatakan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bermesyuarat sebelum memutuskan sebarang keputusan di samping mengambil kira keseimbangan antara kehidupan dan ekonomi.
Apakah benar keputusan itu bakal diketahui hari ini?
Yang pasti sumber memberitahu segalanya akan diperincikan dengan lebih lanjut mengenai makna pengumuman persediaan rakyat selepas 4 Februari.
PKP di seluruh negara dikuatkuasakan bermula pada 13 Januari lalu dijadualkan berakhir pada 4 Februari iaitu Khamis ini.
Namun kerajaan pastinya akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap sesiapa yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bermula 4 Februari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin ( 1 Feb)
“Saya ingin makklumkan bahawa mulai 4 Februari, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.” – Menteri Kanan Keselamatan / Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
“Pelbagai reaksi timbul apabila dimaklumkan tentang pelaksanaan PKP1 (PKP sepenuhnya), ada pihak setuju dan ada yang tidak kerana mereka mahu PKP1 dilaksanakan bagi menutup sepenuhnya semua operasi iaitu tiada perniagaan dan rakyat… duduk di rumah seperti dilakukan dulu dengan alasan boleh membantu percepatkan penurunan kes harian COVID-19.”
“Ramai juga tidak bersetuju, jadi ada pelbagai reaksi, mereka tidak setuju PKP1 terutamanya mereka yang berniaga atau peniaga mikro yang setengah daripada mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian.”