GERIK : Seekor gajah betina berusia antara 30 hingga 35 tahun menceroboh masuk ke perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di Gerik, Perak pada Selasa (19 Jan).
Bernasib baik, tiada kehadiran murid-murid di sekolah berkenaan kerana mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP2.0 ke atas Perak.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, PERHILITAN, Perak, Yusoff Shariff berkata gajah betina berusia antara 30 hingga 35 tahun itu menceroboh masuk ke kawasan sekolah berkenaan.
Gajah liar itu katanya merosakkan pagar elektrik yang dipasang di kawasan sekolah namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Kakitangan Perhilitan Perak pergi ke sekolah itu dan membaiki pagar tersebut termasuk menambah arus elektrik ke tahap 9.1 voltan dan ia cukup untuk halang gajah masuk, lampu biru ‘High LED’ untuk takutkan gajah juga dipasang,” – Pengarah PERHILITAN Perak / Yusoff Shariff
Beliau yang dihubungi BERNAMA untuk mengulas satu video viral menunjukkan seekor gajah di dalam kawasan SK RPS Kemar, Gerik.
Yusof berkata Perhilitan Perak sudah memasang pagar elektrik di sekeliling sekolah itu sejak November tahun lalu bagi mengelak insiden gajah liar memasuki premis tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk RPS Kemar untuk sama-sama menjaga pagar tersebut demi keselamatan bersama kerana pihak Perhilitan tidak berupaya menjaganya 24 jam sehari.
“Kami pasang pagar letrik tersebut kerana risau keselamatan para pelajar, anak-anak penduduk kampung dan guru sekolah. Kami harap penduduk juga dapat bersama-sama menjaga pagar eletrik itu,”
Pada masa yang sama, Jabatan PERHILITAN menerima berita sedih apabila seekor gajah jantan mati dipercayai dilanggar lori di Jalan Gerik-Jeli, Gerik, Perak.
Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dijalankan untuk mencari punca sebenar kejadian.
Justeru, Jabatan PERHILITAN menyeru orang ramai supaya berhati-hati jika melalui kawasan Lintasan Hidupan Liar bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh disalurkan ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151.