DuniaSemasa

67 pemberontak maut dalam pertempuran di Marib

MARIB: Seramai 67 pemberontak Yaman dan tentera pro kerajaan terbunuh dalam pertempuran di bandar Marib, ketika pemberontak semakin menghampiri pertahanan terakhir kerajaan di bahagian utara itu.

Serangan udara dari gabungan pimpinan Arab Saudi menyasarkan pemberontak Huthi yang disokong Iran, yang kini meningkatkan usaha mereka untuk merebut bandar Marib yang kaya dengan minyak.

“58 pemberontak Huthi dan sembilan penyokong setia kerajaan terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara di wilayah Marib dan Shabwa dalam tempoh 24 jam lalu,” menurut sumber tentera kepada AFP.

Angka itu disahkan oleh sumber perubatan, sementara pemberontak jarang mengumumkan kematian mereka.

Menurut sumber ketenteraan, gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman melancarkan lebih 20 serangan udara dalam tempoh 24 jam lalu, yang menyasarkan kenderaan Huthi, tempat pertemuan dan kedudukan mereka di Shabwa dan Marib.

Sementara itu, di Al-Mualla, selatan bandar Marib, pasukan prokerajaan turut melepaskan tembakan ke arah kedudukan Huthi.

Dalam perkembangan lain, penasihat keselamatan nasional Presiden Joe Biden, Jake Sullivan, akan mengunjungi Arab Saudi untuk perbincangan peringkat tertinggi, diiringi pegawai khas Amerika Syarikat (AS) di Yaman, Tim Lenderking, namun Rumah Putih tidak menyatakan butirannya.

Biden menyatakan AS akan mengurangkan sokongan terhadap serangan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman, selain kecewa kerana pihak Huthi tidak menunjukkan minat terhadap gencatan senjata.

Konflik Yaman meletus pada 2014 ketika Huthi merebut ibu negara Sanaa, mendorong campur tangan pimpinan Arab Saudi dan bulan ini menandakan tujuh tahun sejak pemberontak menguasai Sanaa.

AFP

Sumber asal BH

Related Articles

Back to top button