GAZA : Kemeriahan dapat dirasai rata-rata penduduk di sekitar tanah Gaza menyaksikan kejayaan enam pemuda Palestin yang berjaya meloloskan diri dari tembok tahanan Israel.
Kejayaan itu dirai dengan edaran manisan seperti gula-gula daripada kumpulan pejuang Jihad Islam kepada warga Palestin di sekitar bandar raya.
Dilaporkan salah seorang mangsa tahanan Israel itu merupakan anggota kumpulan pejuang Fatah.
Seorang anggota biro politik Jihad Islam, Walid Al-Qutati, berkata proses melarikan diri dari Gilboa adalah sangat rumit dan memerlukan pakar untuk menjelaskan bagaimana operasi itu berlaku.
“Operasi ini akan menjadi epik dan legenda dalam sejarah perjuangan nasional Palestin,” katanya.
Kini, semua penduduk meraikan kejayaan tersebut sambil memegang sepanduk bertulis :
“Kejayaan kedua terbesar keluar dari penjara Zionis.”
“Rasai kebebasan mereka.”
Memetik laporan Arab News, lebih daripada satu juta rakyat Palestin telah dipenjarakan sejak Jun 1967.
Sehingga kini, kira-kira 5,000 rakyat Palestin masih ditahan disebalik tirai besi dan berada dalam keadaan yang digambarkan oleh organisasi Palestin sebagai “tidak berperikemanusiaan.”
Sementara itu, masyarakat dunia menggambarkan tahanan Israel persis dengan apa yang terjadi dalam filem memandangkan penjara Gilboa milik Israel itu diiktiraf “penjara yang selamat” kerana prosedurnya yang ketat untuk mencegah percubaan melarikan diri.
Menurut Yayasan Addameer untuk Penjagaan Tahanan dan Hak Asasi Manusia, Gilboa berada di wilayah Beit She’an di utara Israel, ia didirikan di bawah pengawasan pakar Ireland dan dibuka pada tahun 2004.
“Penjara ini memiliki kawalan yang sangat ketat dan digambarkan sebagai penjara yang paling dijaga, di mana Israel menahan rakyat Palestin serta menuduh mereka bertanggungjawab melakukan operasi menyerang orang Israel.” katanya.
Menurut Pakar Ketenteraan dan Mantan Jeneral Utama, Wassef Erekat, berkata operasi melarikan diri ini merupakan sebuah kemenangan besar bagi seluruh rakyat Palestin.
“Ini adalah keajaiban buat mangsa tahanan di penjara Zionis dengan kejayaan mencipta kaedah untuk menembus sistem keselamatan yang dibanggakan oleh Israel.” ujar beliau pada Arab News.
Erekat mengatakan kejayaan enam tahanan itu akan mendorong tahanan lain untuk memikirkan lebih banyak cara untuk membebaskan diri dari kepungan rejim Zionis.
Arab News
Nurshazlin Shahrom