5 sebab kenapa kita selalu malas
Kejayaan seseorang dalam kerjaya dan kehidupan didorong dengan semangat kerajinan yang tidak pernah padam dalam diri. Semangat kerajinan yang mendalam mendatangkan hasil yang lumayan terhadap sesuatu kerja yang kita lakukan.
Namun, sebagai seorang manusia, kadang kala kita tidak terlepas daripada sifat malas yang menjadikan kita tidak produktif dan menyebabkan badan terasa lesu, tidak semangat dan tidak dapat memberikan tumpuan terhadap kerja.
Justeru itu, menurut perkongsian Youtube Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menjelaskan beberapa sebab kenapa kita selalu malas.
Dalam penjelasan itu, sifat malas ini berlaku kerana kita telah merasa cukup dan selesa dengan apa yang kita ada. Kecukupan yang kita rasakan itu sehingga nak bergerak ke arah rajin itu tidak perlu.
Seterusnya, pemikiran masyarakat yang merasakan tiada keperluan untuk mendapatkannya. Dengan keselesaan yang kita ada ketika ini sampaikan tanah yang terbentang luas di hadapan rumah kita biarkan tanpa diusahakan tanaman.
Pemilihan kawan juga sangat penting, apabila tersilap memilih rakan taulan sehingga mempunyai sifat malas yang sama dan tiada matlamat hidup kita mungkin akan mudah terpengaruh dengan sikap dan perwatakan mereka.
Sebab itu dalam Islam sangat menitikberatkan memilih kawan yang baik. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud:
“Seorang mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhati dengan siapakah dia bersahabat.” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)
Tambahan pula, sikap malas ini didorong dengan sifat tiada motivasi, apabila kita tidak mempunyai hala tuju yang jelas kita tiada semangat untuk menggapai sesuatu kejayaan. Apabila melihat orang sekeliling berjaya, kita tiada rasa semangat untuk menjadi seperti mereka.
Apabila seseorang itu, belum merasa kemanisan atas usaha yang lumayan, menjadikan dia malas untuk berusaha. Dia hanya hidup di dalam takuk yang sama tanpa ada ikhtiar untuk berubah.
Pada waktu yang sama, untuk mengelakkan sifat malas ini semakin menguasai diri ada beberapa solusi yang boleh kita ambil sebagai langkah awal.
Sebagai umat Islam jangan jadikan sifat malas itu sebati dalam diri, kita perlu tukar tabiat atau tingkah laku untuk mencapai kejayaan. Bersungguh-sungguh buang sifat malas dan tambah sikap kerajinan dalam diri supaya dapat mengubah kehidupan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Ra’d yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Surah Ar-Ra’d: 11
Selain itu, sentiasa muhasabah diri untuk mengecapi apa yang kita kehendaki di dunia dan akhirat. Allah SWT sentiasa mengasihi hambanya yang sering meminta bantuan kepada-Nya.
Dalam pada itu, banyakkan berdoa supaya kita dijauhkan daripada sifat malas yang boleh membunuh kita untuk berusaha mencapai kejayaan.
Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW mengajar kita untuk membaca doa iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, rasa malas, rasa takut, kejelekan di waktu tua, dan sifat kikir. Dan aku juga berlindung kepada-Mu dari siksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian” (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, sifat malas merupakan suatu musibah dan penyakit. Malas akan membuat hidup kita menjadi sia-sia, lalai, rugi, dan akhirnya penyesalan yang mendalam.
Kita sebagai umat Islam disarankan untuk menerapkan nilai rajin terhadap diri sendiri supaya tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.