KemanusiaanSemasa

41 juta penduduk dunia diancam kebuluran

Program Makanan Sedunia beri amaran kadar kebuluran bakal meningkat

KAJANG : Sedang kita sibuk memikirkan juadah apa yang kita mahu disantap untuk dijadikan hidangan pagi, tengah hari dan malam, namun, tanpa kita sedar ramai saudara kita di luar sana tiada pilihan selain memilih apa yang ada di depan mata sebagai makanan harian.

Daerah Ambovombe, Madagascar antara kawasan yang tersenarai di ambang kebuluran susulan kemarau berpanjangan di selatan Madagascar serta ribut pasir pada awal tahun ini menyebabkan kurangnya bekalan air. Keadaan itu  sekaligus memberi kesan terhadap tanaman dan haiwan ternakan sehingga menjadikan belalang dan pokok kaktus sebagai makanan bagi mengalas perut.

Kanak-kanak dan wanita antara golongan yang berisiko tinggi diancam kebuluran.  – Ambovombe, Madagascar (Sumber : WFP)

Pada Selasa (22 Jun) di New York, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa dunia memberi perhatian kepada 41 juta orang yang kini berada di ambang kebuluran tanpa dana dan akses kemasukan bantuan kemanusiaan.

Selain itu, WFP memberi amaran bahawa empat negara iaitu Ethiopia, Madagascar, Sudan Selatan dan Yaman kini berisiko tinggi berdepan dengan peningkatan jumlah kelaparan dalam tempoh terdekat jika tiada sebarang tindakan diambil dengan kadar segera.

Dalam empat buah negara itu direkodkan seramai 584,000 orang terjejas.

Kanak-kanak beratur bagi mendapatkan bekalan bantuan makanan di Somalia , Afrika Utara.

Menurut Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley, berkata analisis WFP baru-baru ini menunjukkan seramai 41 juta orang di 43 buah negara kini diancam risiko kebuluran.

Jumlah ini meningkat dengan mendadak daripada 27 juta pada tahun 2019.

“Saya sedih dengan apa yang kita hadapi pada tahun 2021. Sekarang kita mempunyai empat negara di mana keadaan seperti kelaparan berlaku,” David Beasley / Pengarah Eksekutif WFP

Dilaporkan, krisis kebuluran ini didorong oleh beberapa faktor antaranya perubahan iklim, kenaikan harga barang berpunca daripada kejatuhan nilai mata wang dan ditambah pula dengan konflik negara.

Pada tahun ini, dalam sejarah WFP berhasrat menjalankan operasi secara besar-besaran menyasarkan 139 juta orang untuk menerima bantuan makanan.

WFP turut menyatakan pihaknya memiliki kepakaran untuk menyediakan bantuan makanan kepada semua yang berisiko kebuluran jika mempunyai dana yang mencukupi. Tahun ini sejumlah US$46 bilion dana diperlukan.

Oleh : Wartawan Ummah Today – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button