DomestikEkonomiSemasa

3,000 bakal haji terima insentif Haji Muassasah Selangor

Shah Alam: Insentif Haji Muassasah Selangor 2022, dilaksanakan semula atas persetujuan kerajaan negeri bagi tahun kelima tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, manfaat ini dinikmati oleh 3,000 bakal jemaah haji dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, insiatif ini tertangguh selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

“Setiap individu berkenaan akan menerima wang tunai sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM500 berserta kit cenderamata mengandungi beg, penyahkuman tangan, losyen, pelembap bibir, tuala muka serta tisu basah.

“Urusan permohonan insentif ini akan dijalankan selama tiga bulan seawal Isnin, 23 Mei sehingga Rabu, 31 Ogos melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

“Bakal jemaah haji yang berminat hanya perlu membawa kad pengenalan serta salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang lengkap dengan maklumat penerbangan sewaktu membuat permohonan,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, inisiatif ini merupakan usaha kerajaan negeri yang dikendalikan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial (CSR).

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban serta mempermudah urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih,” katanya.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button