BENTONG: Polis Daerah Bentong akan melakukan siasatan ke atas anggotanya yang bertugas di kaunter aduan khas polis di Medan Selera Karak, di sini.
Perkara ini susulan timbul ketidakpuasan hati orang ramai terhadap anggota terbabit seperti yang tular di media sosial, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar, berkata kes itu akan disiasat sepenuhnya dan tindakan yang bersesuaian akan diambil ke atas petugas terbabit sekiranya dakwaan itu benar.
Beliau berkata, pihaknya prihatin terhadap kesukaran dihadapi oleh mangsa banjir yang melanda daerah Bentong, baru-baru ini.
“IPD Bentong telah membuka enam kaunter aduan khas di enam lokasi dan sehingga kini sebanyak 3,107 laporan polis secara manual diterima.
“Walaupun, semua langkah telah diambil untuk memberi keselesaan dalam memudahkan orang ramai membuat laporan polis, terdapat insiden yang di luar kawalan PDRM.
“Ini disebabkan sikap segelintir petugas yang mungkin terbawa-bawa emosi dengan keadaan dalam suasana menangani keluhan dan kesusahan yang menimpa masyarakat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zaiham meminta orang ramai yang terbabit dalam insiden itu diminta bekerjasama untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong di talian 09-222 2222.
— DO NOT DONATE TO GOVERNMENT (@pedoqpop) December 25, 2021
Berikut antara luahan ketidakpuasan hati daripada salah seorang saksi – sumber Twitter
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today