DomestikSemasa

20 rumah setinggan musnah dijilat api.

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah di kawasan setinggan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Kolombong, di sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 4 pagi itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa namun seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 28 anggota dan pegawai bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penampang dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah setinggan berkeluasan 5,574 meter persegi, kemudian operasi mengawal api segera dilakukan bagi mengelak daripada terus merebak ke sebahagian besar lagi rumah setinggan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat laporan seorang mangsa mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 5 pagi dan usaha memadamkan api kebakaran masih giat dijalankan dan jika terdapat sebarang perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button