Semasa

2 pengebom nekad serang gereja di Makassar

14 cedera

JAKARTA 28 Mac : Dua orang disyaki pengebom nekad meletupkan diri di luar sebuah gereja Katolik di bandar Makassar di Indonesia pagi tadi (28 Mac). Salah seorang pengebom bunuh diri itu sudahpun disahkan maut dan polis masih cuba memastikan pengenalan dirinya.

14 orang lain dilaporkan cedera menurut polis dan saksi.

Bercakap di satu sidang media di Jakarta, jurucakap polis nasional Ketua Polis Argo Yuwono berkata bahawa  mangsa mengalami luka pada bahagian leher, dada dan kaki. Ada yang mengalami melecur pada bahagian tangan dan kaki.

Menurutnya lagi, beliau tidak dapat mengesahkan jumlah korban buat masa ini.

Beberapa hadirin berada di dalam gereja semasa letupan berlaku, kata jurucakap polis Sulawesi Selatan E Zulpan kepada Reuters.

Ketua polis Sulawesi Selatan Merdisyam memberitahu media, bahawa lima kakitangan gereja dan empat hadirin merupakan antara mereka yang cedera. Tidak ramai yang hadir di gereja berkenaan berikutan sekatan kesihatan.

Kedua-dua disyaki pengebom itu tiba di gereja tersebut para kira-kira 10.20 pagi dengan menunggang sebuah motosikal, kata Yuwono. Mereka cuba memasuki gereja besar itu namun dihalang oleh seorang pegawai keselamatan.

“Kemudian letupan itu berlaku,” kata Encik Yuwono.

“Berdasarkan maklumat dari tempat kejadian, kenderaan itu musnah, terdapat beberapa serpihan daging manusia dan pastinya ini adalah sebahagian daripada siasatan kami,” katanya.

Paderi Wilhemus Tulak, seorang paderi di gereja itu memberitahu media Indonesia bahawa seorang individu yang menahan seorang individu disyaki pengebom nekad juga mengalami kecederaan.

Rakaman video kamera keselamatan menunjukkan saat letupan berlaku yang mengeluarkan api, asap dan serpihan ke bahagian tengah jalan raya.

Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan polis meletakkan hadangan di sekeliling gereja dan kereta-kereta yang diletakkan berhampiran turut musnah.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu buat masa ini. Polis sedang menyiasat sama ada para suspek adalah sebahagian daripada sebuah rangkaian, kata Encik Yuwono.

Datuk bandar Makassar Danny Pomanto berkata letupan yang berlaku pagi tadi mungkin menyebabkan lebih banyak korban nyawa jika ia berlaku di pagar utama gereja dan bukan di pintu masuk di bahagian tepi.

– Reuters

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button