KUANTAN: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di Raub bagi menempatkan 138 mangsa banjir kilat yang melanda tiga buah kampung di daerah itu pada awal pagi Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Raub, Kapten Pertahanan Awam (PA) Samasuddin Kambade berkata, sebanyak 14 keluarga terlibat membabitkan penduduk dari Kampung Batu Talam, Kampung Kuala Atok dan Kampung Jenud.
Menurutnya, seramai 19 mangsa termasuk sembilan kanak-kanak daripada empat keluarga berada PPS Balai Raya Kampung Batu Talam yang dibuka pada jam 2 pagi.
“PPS Sekolah Kebangsaan Ulu Atok pula dibuka jam 4 pagi bagi menempatkan 45 mangsa dari 10 keluarga.”
“PPS di balai raya Kampung Jenud turut dibuka jam 6.36 pagi sebagai persediaan namun tiada mangsa ditempatkan di situ setakat ini,” katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Samasuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum anggota ke lokasi untuk melakukan pemantauan.
“Hasil pemantauan mendapati banjir kilat berlaku ekoran limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Semantan susulan hujan lebat.”
“Anggota APM ke lokasi kejadian untuk mengambil maklumat mangsa dan membuat kerja-kerja pemasangan kubikal di PPS terlibat,” jelasnya.
Beliau berkata, selain APM, pihak bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung turut terlibat menghulurkan bantuan.
Sementara itu, sebuah PPS turut dibuka di daerah Lipis yang menempatkan 19 mangsa banjir daripada lapan keluarga di Kampung Lubuk Kulit.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, kejadian banjir dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Mukim Telang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak malam Rabu.
“Ia berpunca ekoran limpahan air Sungai Telang dan anak-anak sungai di kawasan Kampung Lubuk Kulit.”
“Pihak APM telah membuat pemantauan di kawasan banjir bagi memantau paras air di dan membantu memindahkan mangsa ke PPS di SK Lubuk Kulit,” katanya.
MAPIM MALAYSIA DALAM SIAP SIAGA UNTUK MISI BANTUAN KECEMASAN BENCANA BANJIR
Bersama kami membantu mangsa banjir melalui sumbangan infaq menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
atau layari www.bantuummah.com
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
Jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038