110 pelajar Malaysia di Queensland terjejas banjir dipindahkan
PUTRAJAYA : Seramai 110 pelajar Malaysia di Queensland, Australia akan dipindahkan berikutan banjir buruk yang melanda negeri tersebut sejak Jumaat lalu, menurut Kementerian Luar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, daripada keseluruhan 200 pelajar yang mendaftar di Queensland merupakan penuntut di bawah tajaan pelbagai agensi.
“Setakat ini 75 pelajar berjaya dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Universiti Queensland di ibu negerinya, Brisbane,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial hari ini.
Sementara itu, pasukan penyelamat ke kampus tersebut sedang memindahkan baki 35 orang lagi manakala secara keseluruhan, terdapat 348 rakyat Malaysia berdaftar di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Wisma Putra melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra sedang memantau rapi keadaan rakyat kita termasuk kemungkinan banjir di negeri jirannya, New South Wales.
“Kerajaan Queensland melalui siaran televisyen tempatan telah memaklumkan bahawa situasi bah tersebut dijangka berlarutan bagi tempoh sehingga lima hari akan datang,” jelas beliau.
Dalam pada itu, agensi kaji cuaca Australia melaporkan, situasi hujan diramal akan bergerak menghala ke arah selatan yang mungkin menjejaskan ibu negeri New South Wales, Sydney.
Tambahnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di Sydney untuk bersiap siaga dan sentiasa melaporkan pemantauan perkembangan banjir.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas bencana itu dinasihatkan untuk segera berhubung terus dengan pihak suruhanjaya yang beralamat di 7, Perth Avenue, Yarralumla, ACT Canberra.