Semasa

Wabak denggi di wilayah Sindh mendadak naik akibat banjir di Pakistan

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today

SINDH: Angkara banjir teruk melanda Pakistan, kini rakyat negara itu berdepan dengan risiko pelbagai penyakit bawaan air. Perkara ini telah dijangkakan selepas amaran dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Pakistan minggu lalu.

Antara yang menjadi ancaman buat rakyat Pakistan adalah denggi yang mula merekodkan lonjakan kes di wilayah Sindh yang paling teruk terjejas, lapor akhbar Arab News pada Selasa.

Melihat data rasmi yang dikeluarkan kerajaan wilayah tersebut, kes demam denggi meningkat daripada 361 pada bulan Julai lepas kepada 1,336 bulan ini dengan 257 kes dicatatkan hanya dalam tempoh 4 hari pertama September.

Hal ini menyebabkan pihak berkuasa telah membangunkan lebih 100 kem perubatan dan menempatkan seramai 117 orang doktor serta 277 paramedik bagi merawat lebih 785,000 pesakit di kawasan yang terjejas dengan banjir.

“Nyamuk bertelur dengan pantas dan merebak ke seluruh kawasan terjejas dengan banjir di wilayah Sindh, sekali gus meningkatkan angka kes denggi harian.”

“Selain denggi, kes penyakit malaria turut melonjak disebabkan pencemaran air. Banyak kawasan masih tidak dapat diakses oleh petugas kesihatan setakat ini, justeru, gambaran sebenar mengenai penyakit tersebut hanya akan diketahui selepas banjir surut,” kata jurucakap Jabatan Kesihatan Sindh, Mehar Khursheed.

Dalam masa sama, pihak kerajaan kini dalam usaha untuk melaksanakan semburan asap dari udara ke kawasan-kawasan terjejas dengan banjir bagi menangani penyakit bawaan air.

Pada Sabtu lalu seramai 94 orang disahkan menghidapi denggi manakala 161 orang telah dimasukkan ke hospital pada Khamis dan Jumaat lepas.

Selain itu, seorang doktor di kem bantuan perubatan dibangunkan memaklumkan beliau telah merawat lebih 250 orang pesakit dalam tempoh dua hari lalu dan kebanyakkan mereka didapati menghadapi gastrik dan penyakit kulit.

“Kebanyakkan pesakit mempunyai ruam di bahagian bawah lutut mereka kerana terlalu lama berdiri di dalam air.” ujar Dr. Muhammad Anees yang merupakan ketua bagi sebuah kem bantuan perubatan yang dibangunkan Persatuan Kebajikan Al-Mustafa di Karachi.

Negara Pakistan telah lumpuh & kerajaannya merayu sumbangan dunia.

Marilah kita bersama-sama membantu dengan cara menyumbang, menerusi

Akaun Maybank :
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066

atau layari laman web:
www.rayuanPakistan.com

MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016

Related Articles

Back to top button