Covid19KemanusiaanSemasa

`Tolong nak ya, Makcik nak pindah!”

Makcik Salamah mahu MAPIM carikan rumah orang tua-tua

KUALA LUMPUR : Siapa sangka di tengah-tengah kemodenan ibu kota masih ada yang kurang bernasib meneruskan kehidupan di hujung usia.

Apatah lagi buat yang tinggal sebatang kara.

Dalam misi Jelajah Peduli Ummah, sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, di Lembah Kelang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia, berkunjung ke Kampung Baru.

Seorang insan bernama  – Salamah Gani, 72 tahun disantuni.

Kehadiran pasukan MAPIM petang kelmarin, rupa-rupanya amat dinantikan oleh Makcik Salamah.

Katanya, doa beliau seolah-oleh terjawab kerana MAPIM muncul di depan pintu.

Beliau sangat teruja menerima kunjungan MAPIM, dan mempelawa semuanya masuk ke dalam rumah yang menanti rebah.

Ketika sedang bertanya khabar, hati rombongan MAPIM tersentuh apabila secara tiba-tiba, Makcik Salamah memohon pertolongan daripada MAPIM.

“Makcik nak pindah, boleh tak tolong Mak Cik?’’

Susulan pertanyaan itu, air matanya berlinangan di pipi dan bertanyakan lagi hasratnya kepada Setiausaha Agung MAPIM Mejar Zul Hanis Zainol yang mengetuai jelajah kali ini.

Mak Cik Salamah juga kerap kali bertanyakan berapa harga yang perlu dibayar untuk ditempatkan ke pusat jagaan warga tua berkenaan.

“Mak cik mintak duduk rumah orang tua-tua, makcik nak selesa duduk di sana, ada orang yang menjaga makcik, lambat pun tak apa, janji tempat tu dah sudah tentu ada kan? pasal rumah ni saya menumpang di sini, bukan rumah makcik, rumah ayah tiri mak cik, tak ada tempat tinggal itu aje.”

Mana hati yang tidak sebak, menyaksikan warga tua yang dalam kesedihan mengharapkan MAPIM mencarikan rumah orang tua-tua secepat yang mungkin untuk beliau berteduh dek panas dan hujan.

Menurut Mejar Zulhanis, pada Mei lalu, dalam jelajah MAPIM yang terdahulu, MAPIM pernah mengunjungi Mak Cik Salamah dan ingin membantu perpindahan beliau ke kediaman yang lebih selesa, namun Makcik Salamah enggan.

Atas alasan yang terlalu peribadi, beliau kini, sudah tekad untuk meninggalkan rumah yang didudukinya lebih 20 tahun lamanya.

Keadaan rumah ini sememangnya tidak sesuai untuk didiami seseorang seperti seusianya.

Tidur beliau beralaskan lantai papan yang sudah tua.

Manakala bumbung rumah pula bocor di sana sini, dengan deretan tong plastik dan periuk belanga tersedia menanti  untuk menadah hujan yang bila-bila akan tiba.

Beliau berkata ada menerima bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP.

Kesihatannya juga semakin uzur, sakit tua dihidapinya tidak menjadi halangan untuk Makcik Salamah mendalami ilmu agama, malah Quran begitu dekat dengan jiwanya.

Sumbangan orang ramai berupa barangan keperluan harian daripada tabung kemanusiaan, ummah bantu ummah MAPIM diserahkan kepada Makcik Salamah.

MAPIM kini sedang berusaha mencari kekosongan di mana-mana rumah orang-orang tua yang boleh menempatkan Makcik Salamah.

Pada akhir pertemuan, Makcik Salamah tanpa lupa, mendoakan keselamatan dan kejayaan bagi anggota sukarelawan dan MAPIM khususnya.

MAPIM meneruskan siri jelajah Ummah Bantu Ummah kedua, bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang kini dilanjutkan sehingga 9 November depan.

*______________________________________________________________________________________

2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:

WWW.BANTUUMMAH.COM

ATAU

menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button