Covid19DuniaKerohanianSemasa

Tiada lagi peluang tunaikan haji tahun ini, akur keputusan Arab Saudi

Ibadah haji terhad untuk warganegara, penduduk Saudi

PUTRAJAYA : Ibadah haji yang dirindui semua umat Islam tinggal harapan apabila Arab Saudi mengisytiharkan penutupan pintu masuk negara tersebut untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H adalah terhad untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal ini disebabkan keadaan semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

Datuk Dr. Zulkifli berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi penglibatan jemaah haji dari negara luar bagi tahun 2021.

Justeru, kerajaan Malaysia akur serta menghormati keputusan oleh Kerajaan Arab Saudi itu.

Walaubagaimanapun, pihak kerajaan akan memainkan peranan dalam segala hal buat rakyat Malaysia yang berada di sana dan terpilih melaksanakan ibadah haji pada musim ini.

“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah haji bagi musim haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” – Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri / Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Pada masa sama beliau ingin memohon maaf kepada semua bakal jemaah kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji tahun ini.

Biar pun sulit untuk menerima keputusan ini, namun beliau percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Beliau turut menginsafi situasi yang sedang dihadapi mutakhir ini sebagai satu ujian yang amat berat.

Tahun ini merupakan tahun kedua jemaah haji Malaysia tidak dapat melepaskan rindu dan menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu susulan wabak COVID-19 yang menular.

  1. Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button