DomestikEkonomiSemasa

Peserta MySTEP berjaya ditempatkan di sektor awam dan GLC

Kuala Lumpur:  Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) telah berjaya menempatkan seramai 2,546 peserta di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setakat 17 Mac 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada julah tersebut seramai 713 orang pekerja berjaya ditempatkan di GLC dan rakan strategik mereka, manakala seramai 1,833 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam.

“Di bawah Bajet 2022, MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari 2022,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan semalam.

Tambahnya lagi, program MySTEP ini mula dilaksanakan pada Januari 2021, pemohon telah diletakkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Kementerian Kewangan.

Bagi GLC pula, permohonan ditempatkan di organisasi seperti PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, katanya.

Program MySTEP ini telah berjaya menempatkan seramai 63,221 orang pekerja dan telah mencapai sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan pada tahun 2021, daripada jumlah itu seramai 41,680 orang ditempatkan di sektor awam manakala 21,541 orang ditempatkan di GLC dan rakan strategik

“Kementerian Kewangan juga menyediakan portal MySTEP bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja di pihak sektor awam dan GLC. Portal ini dilancarkan secara rasmi pada Majlis Pelancaran JaminKerja yang berlangsung pada 19 Februari lepas.

“Mereka yang berminat untuk bekerja di sektor awam atau GLC hanya perlu memohon serta memuat naik resume melalui portal tersebut,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 15 Mac 2022, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan usaha sama Insentif Penggajian JaminKerja telah berjaya menempatkan 42,014 pekerja .

Katanya lagi, usaha itu dapat mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganera Malaysia dan akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu.

“Kerajaan melalui Perkeso akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion bagi 2022.

“Insentif yang diberikan adalah sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya.

-Agensi

 

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button