Semasa

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden pesawat China Eastern Airlines terhempas

KUALA LUMPUR : Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden pesawat China Eastern Airlines terhempas di pergunungan di wilayah Guangxi, selatan China, semalam.

Kementerian tersebut memaklumkan perkara itu berdasarkan maklumat diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara berkenaan.

“Kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian nahas China Eastern Airlines MU5735 di Wilayah Guangxi, pada 21 Mac.

“Namun, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Nanning dan Guangzhou, Republik Rakyat China sedang memantau rapi perkembangan kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pesawat China Eastern Airlines yang membawa 132 penumpang terhempas di selatan China

Pesawat dengan 123 penumpang dan sembilan kru, sebelum itu terputus hubungan ketika di Wuzhou, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan syarikat penerbangan.

Media tempatan melaporkan, pesawat MU5735 itu tidak tiba di destinasi yang dijadualkan di Guangzhou sejurus berlepas dari bandar Kunming selepas pukul 1 petang waktu tempatan.

Kementerian Luar Negeri bagi pihak Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Rakyat China serta keluarga mangsa yang terbunuh kemalangan itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button