Semasa

Tajuddin dipecat serta-merta

130,000 isi petisyen gesa lucut jawatan

KUALA LUMPUR : Perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd ditamatkan serta merta semalam (27 Mei)

Keputusan itu disahkan sendiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sepucuk surat yang ditanda tangani.

Menteri Kewangan Diperbadankan merupakan pemegang saham tunggal Prasarana, yang memiliki banyak rangkaian pengangkutan awam Malaysia.

Memetik akhabr thestar, ketika dihubungi, jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan surat persetujuan penamatan perkhidmatan Ahli Parlimen Pasir Salak itu dikeluarkan bertarikh 26 Mei 2021.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri (Tajuddin) sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd ditamatkan berkuat kuasa serta merta.” – Jurucakap Kementerian Kewangan

Pelucutan jawatan ini berikutan sikap Tajuddin yang mendapat kecaman teruk berhubung kenyataannya yang dianggap ‘sambil lewa’ ketika mengendalikan sidang media mengenai kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.

Kemalangan pada  Isnin lalu, melibatkan dua tren LRT bertembung sehingga mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital.

Manakala, enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Pada 11 Mei 2020, Tajuddin menggantikan tempat bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai Pengerusi Kumpulan yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Tajuddin juga pernah berkhidmat selama lima tahun sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 hingga 2018.

Sementara itu, tular di media sosial petisyen yang menggesa pemecatan Tajuddin mendapat lebih 130,000 tanda tangan.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button