Covid19Semasa

Lagi Kluster baharu! – Kluster Bunga

Empat kakitangan kapal di Pelabuhan Port Dickson

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan satu lagi kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Bunga yang dikenal pasti melibatkan empat kakitangan sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kapal itu mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

“Seramai 34 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal dan daripada jumlah itu empat kes dikesan positif, enam negatif dan 24 lagi menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata kes positif kluster itu melibatkan dua  warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara dan keempat-empat kes positif itu tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

Menurutnya setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil iaitu di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan proses nyahcemar telah dijalankan di kapal itu dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham turut memperincikan perkembangan status Kluster Tawar dengan pertambahan satu kes menjadikan jumlahnya 74 kes.

Menurutnya Kluster Telaga juga mencatatkan pertambahan satu kes baharu menjadikan jumlahnya lima kes.

“Pengesanan kes secara aktif  dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 kepada semua warga Malaysia dan menzahirkan perhargaan kepada semua petugas barisan hadapan negara.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang telah bertungkus lumus berjuang menentang musuh negara yang juga sedang mengancam dunia, iaitu COVID-19.

“Semoga kita terus cekal dan bersatu hati, berganding bahu bagi berjuang membebaskan Malaysia daripada sebarang ancaman virus ini dan segala jenis ancaman yang lain. Bersama-samalah kita menjaga ibu pertiwi kita ini,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button