DomestikPendidikanSemasa

SPM di Kelantan, Terengganu dijamin akan berlangsung dengan selamat – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memantau rapi perkembangan banjir berlaku di negeri-negeri Pantai Timur untuk memberi jaminan memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan berjalan dalam keadaan selamat dan teratur.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata walaupun dalam situasi banjir di Kelantan dan Terengganu ketika ini, pihaknya sudah merangka pelan tindakan bagi memastikan kelancaran usaha terbabit.

Katanya, beliau mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid serta pegawai Lembaga Peperiksaan (LPM) berikutan situasi semasa semua pusat peperiksaan SPM di dua negeri yang terjejas akibat banjir itu.

“Saya dimaklumkan mengenai keadaan sekolah di sana. KPM sentiasa memantau dan merangka pelan tindakan bagi memastikan peperiksaan SPM 2021 dapat dijalankan dalam keadaan selamat dan teratur.

“Kami menyedari, keadaan yang berlaku tentunya memberi kesan kepada anak-anak calon peperiksaan yang berada di kawasan terjejas banjir,” katanya menerusi perkongsian di media sosial selepas perbincangan itu malam tadi.

Radzi berkata, calon peperiksaan di negeri berkenaan boleh berhubung dengan guru kelas atau setiausaha peperiksaan di sekolah masing-masing dalam apa jua keadaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pada masa sama, katanya, kenyataan media akan dikeluarkan oleh KPM bagi memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button