Covid19Semasa

Sultan Selangor bimbang ada individu rentas negeri sambut Aidiladha

Sambut raya dalam keadaan sederhana

SHAH ALAM : Sempena ketibaan hari raya Aidiladha ke 1442 hijrah yang menjelang pada hari esok, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan kerisauan pada individu yang berdegil rentas negeri.

Justeru, baginda menasihati umat Islam agar menyambut hari raya ini di kediaman masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang semakin menular.

“Baginda berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).” titah baginda.
Dalam masa yang sama, baginda turut meluahkan rasa dukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhuwah ini, terpkasa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.
Oleh itu, baginda menggesa umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT, serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat.
Demikian titah baginda menerusi hantaran Facebook rasmi, Selangor Royal Office sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun 2021.
Tidak ketinggalan, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.
“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian.” menurut kenyataan itu.
Oleh : Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button