Covid19Semasa

Umat Islam di Perlis sudah boleh solat jemaah di masjid esok

Namun perlu mengikut kapasiti maksimum saiz masjid dan SOP ketat

KANGAR – Perlis membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (​SOP) ketat bermula esok (1 Julai).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran tersebut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini.

Raja Muda Perlis – Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Semua masjid di negeri ini dibenarkan untuk menerima kehadiran jemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh esok sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN). Semua jemaah perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan hanya terdiri daripada ahli kariah berusia 12 hingga 59 tahun sahaja.” – Raja Muda Perlis / Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, hanya mereka yang telah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 dibenarkan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebagai langkah kawalan, mereka terlibat dengan aktiviti rentas negeri termasuk yang berulang-alik bekerja pada setiap hari juga tidak dibenarkan.

Titah baginda, solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.

“Semua aktiviti lain termasuk kuliah agama masih tidak dibenarkan, orang ramai boleh meneruskan kelas pengajian secara maya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis.” – Raja Muda Perlis / Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

– BERNAMA

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button