HiburanKemanusiaan

“Sebagai waris P.Ramlee, harap diri saya terus terbela!”

Disantuni dalam Program Ziarah Finas Prihatin 2.0

SEMENYIH : Pentingnya untuk masyarakat melindungi golongan OKU sentiasa disebut-sebut dalam agenda nasional.

Baru-baru ini komitmen kerajaan dizahirkan untuk kesejahteraan golongan itu seperti disebut dalam peruntukan Kementerian Kewangan melalui pelbagai inisiatif untuk golongan OKU pada Belanjawan 2021.

Langkah itu antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU RM400 ke RM450 serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500.

Setakat sambutan Hari OKU sedunia hari ini, Malaysia mempunyai seramai 581,265 orang OKU di seluruh negara.
Salah seorangnya ialah anak kepada seniman terkenal negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee – Sazali.

Sazali kini telah dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kesihatannya semakin merosot sejak kemalangan yang menimpanya pada Disember tahun 2015.

Beliau juga yang kini tidak bekerja menampung kehidupan dengan bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing sebanyak RM400 dan RM350.

“Bulan-bulan, perbelanjaan saya dan isteri hanya bergantung sepenuhnya daripada bantuan PZS dan JKM. Kalau ikutkan, memang tidak mencukupi.”
Sazali juga memerlukan bantuan pengangkutan untuk pergi ke hospital di Cheras, untuk tujuan  pemeriksaan dan rawatan kesihatan mengikut hari yang telah ditetapkan oleh doktor.

Pasangan ini hanya tinggal berdua, kerana beliau dan isteri Hamidah Hitam, 58, tidak dikurniakan anak sejak mendirikan rumah tangga 32 tahun yang lalu.

Mereka yang tinggal di rumah mertua, di Kampung Sentosa, Semenyih semalam disantuni oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Tuan Zakaria Abdul Hamid.

Ziarah Kunjung itu adalah menerusi Program Ziarah Finas Prihatin 2.0 melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Industri,  Kebajikan dan Data Industri.

Zakaria berkata, usaha itu bagi menghulurkan sedikit sumbangan kepada selebriti veteran dan waris penggiat seni tanah air berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini yang ramai orang terjejas pendapatan.

Selain bantuan kewangan, barangan keperluan dapur, kerusi roda dan tongkat diserahkan Zakaria kepada Sazali.

Ihsan : FINAS

Turut mengunjungi Sazali, ialah Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ Banuri bin Aris, Pengurus Besar Yayasan Felda merangkap Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri Kebajikan dan Data Industri FINAS.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia pula diwakili oleh Mohamad Aiman Syafiq bin Mohd Noor, serta rakan strategik MAPIM yang lain.

Turut bersama-sama dalam ziarah itu ialah Mohamad Zaini Hassan, Wakil FDAM merangkap Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Muhammad Waqiuddin Jalil, Wakil GISBH Holdings.

Lima tahun lalu, selepas pulang dari kerja, beliau dilanggar dalam keadaan hujan lebat.

Sazali terpaksa melakukan pembedahan memasukkan besi di lutut kiri dan tulang pinggang.

Manakala isterinya pula pernah melakukan pembedahan tulang belakang.

@FINAS 

https://www.facebook.com/malaysiafinas/videos/380257436565614

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button