PolitikSemasa

Pilihan raya tetap diadakan di Sabah

Mahkamah tolak kebenaran semakan kehakiman 33 ADUN berhubung pembubaran DUN

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung pembubaran DUN negeri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Sabah akan tetap mengadakan pilihan raya.

Pada prosiding itu, 33 ADUN berkenaan termasuk bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh pula mewakili responden.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan 26 September ini untuk pilihan raya negeri (PRN) manakala hari pencalonan pula pada 12 September.

Hari ini ditetapkan keputusan sama ada permohonan semakan itu boleh diadili di mahkamah atau sebaliknya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN yang menyatakan sokongan ke atasnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran DUN Sabah.

Permohonan terbabit meletakkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button