Covid19Semasa

Covid-19 : 561 positif, ke-2 tertinggi sejak PKP

161 kluster - 5 kluster baharu

PUTRAJAYA : Jangkaan kes positif Covid-19 negara diharap mendatar walau tinggi dengan bacaan sekitar 300 lebih sehingga 374 kes pada Sabtu.

Namun, telahan itu tidak berlaku sebaliknya melonjak kepada 561 kes iaitu angka kes positif pandemik Covid-19 yang kedua  tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan PKP dilaksanakan pada Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata daripada keseluruhan kes positif setakat jam 12:00 tengah hari Ahad (11/10)

Beliau berkata, dengan perkembangan tersebut jumlah keseluruhan kes positif ialah 15,657 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, adalah 4,587 kes.

“Daripada jumlah kes baharu, 553 kes penularan di dalam negara melibatkan 494 kes adalah warganegara Malaysia dan 59 kes adalah bukan warganegara, manakala lapan lagi merupakan kes import.

Sabah masih mendominasi jumlah kes positif Covid-19 dengan 488 kes,  22 – kluster Surat (baharu),15 kluster Kasih (baharu), 13 kluster Khazanah (baharu) manakala  438 lain-lain saringan COVID-19.

Lima lagi kluster baharu COVID-19 dikesan iaitu tiga di Sabah manakala masing-masing satu kluster di Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor.

Tiga kluster baharu di Sabah ialah Kluster Kasih, Kluster Surat dan Kluster Khazanah, manakala di Labuan ialah Kluster Bah Bundle dan di Selangor Kluster Sungei Way.

Beliau berkata Kluster Kasih di kenal pasti di daerah Lahad Datu, apabila kes indeks ke-12,509 didapati positif hasil saringan petugas kesihatan pada 27 Sept dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif, manakala 1,804 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.

Bagi Kluster Surat di Sandakan, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan kes indeks ke-15,097, yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan, dan saringan kontak rapat telah mengesan 24 lagi kes positif manakala 49 individu lagi masih menunggu keputusan.

Mengenai Kluster Khazanah juga di Lahad Datu, Dr Noor Hisham berkata kes indeks ke-14,842 dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 9 Okt dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif dan sehingga kini terdapat 638 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Memperincikan mengenai Kluster Sungei Way melibatkan Petaling dan Gombak di Selangor, serta Titiwangsa di Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata kes indeks ke-14,307 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 7 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan saringan kontak rapat telah mengenal pasti 17 lagi kes positif dan tujuh individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Bah Bundle di Wilayah Persekutuan Labuan, ia melibatkan kes indeks ke-11,771, yang dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 2 Okt dan dimasukkan ke Hospital Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

“Berikutan itu, saringan kontak rapat telah mengenal pasti dua lagi kes positif dan 296 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes ialah Kluster Benteng LD (17 kes); Kluster Tembok (16); Kluster Tujuh Serangkai (lapan); Kluster Tanamera (lapan); Kluster Utama (lima); Kluster Jalan Meru (dua); manakala Kluster Ramai-Ramai, Kluster Highway dan Penjara Reman masing-masing merekodkan satu kes.

— BERNAMA/ FB:KKM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button