DuniaSemasa

Perintah berkurung ladang ternakan ayam di Belgium

BRUSSELS : Ladang ternakan unggas di Belgium dikenakan perintah berkurung susulan kes selsema burung dikesan membabitkan itik liar.

Bagi mencegah penularan virus H5N1 daripada merebak, pihak berkuasa cuba mengasingkan burung ternakan daripada bercampur dengan hidupan burung liar terbang berhijrah.

Ini berikutan itik liar sakit ditemui di Schilde, sebuah bandar di pinggir timur Antwerp, bandar moden kedua terbesar Belgium.

Pengurungan haiwan ternakan ini juga turut dilakukan oleh negara jiran Perancis dan Belanda sejak tiga minggu lalu susulan penularan wabak di wilayah berkenaan.

Sekatan Belgium memerlukan penternak memastikan ternakannya terkurung dan tidak meminum air daripada sumber yang boleh diakses burung liar.

Menurut Menteri Pertanian David Clarinval, orang awam digesa memaklumkan kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang unggas mati di kawasan persekitaran.

“Kami mahu mengelak penyakit ini menjangkiti ternakan dan mencegah kemudaratan yang dialami sektor itu pada masa lalu,” katanya.

Sementara itu, agensi keselamatan makanan kebangsaan pula memaklumkan virus yang kini menular tidak berbahaya kepada manusia.

Sambil itu, pihak terbabit menegaskan daging ayam dan telur boleh terus dibeli di Belgium.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah mengatakan H5N1 ‘sudah terbukti dapat menular kepada manusia’ tetapi jangkitan seperti itu daripada burung jarang berlaku.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button