Semasa

PBB lancar rayuan bantuan kecemasan AS$160 juta untuk mangsa banjir Pakistan

GENEVA: Rayuan bantuan kecemasan mencecah AS$160 juta dilancarkan untuk membantu rakyat Pakistan yang sedang berdepan ancaman banjir terburuk dalam tempoh lebih sedekad.

Menurut laporan media antarabangsa, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata sejumlah 5.2 juta penduduk paling terkesan akan menerima manfaat dana tersebut selain bekalan makanan, air bersih, sanitasi, pendidikan kecemasan, perlindungan dan sokongan kesihatan.

“Pakistan kini sedang menderita. Impak musim tengkujuh yang membawa hujan berterusan dan banjir besar telah memaksa rakyat Pakistan berdepan detik genting,” katanya dalam satu kenyataan melalui video.

Secara umum, bantuan berkenaan yang meliputi enam bulan pertama tindak balas krisis itu, akan dimanfaatkan untuk mencegah wabak penyakit seperti taun, di samping menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak dan ibu mereka.

Selain itu, ia juga akan memberikan bantuan kepada pelarian dan usaha menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat bencana berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Pejabat untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bawah PBB, Jens Laerke memaklumkan solidariti dan sokongan antarabangsa amat diperlukan oleh rakyat Pakistan.

Menurutnya, kira-kira 500,000 mangsa kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan terpaksa berlindung di kem bantuan, manakala ramai lagi menumpang sementara di kediaman keluarga tuan rumah.

“Kira-kira 150 jambatan dihanyutkan arus deras, manakala 3,500 kilometer jalan mengalami kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh, sekali gus menyekat akses laluan.

“Hujan lebat dijangka berterusan, manakala air di banyak empangan dan sungai telahpun mencecah paras banjir. Justeru, bencana banjir ini berkemungkinan akan semakin buruk,” katanya.

Hujan monsun berterusan sejak Jun lalu sehingga mengakibatkan banjir yang menenggelami satu per tiga daripada Pakistan telah menjejaskan puluhan juta penduduk.

Lebih 1,100 nyawa telah terkorban setakat ini akibat bencana itu dan ia telah memusnahkan banyak tanaman dan merosakkan atau memusnahkan lebih sejuta kediaman.


Pakistan hampir lumpuh dan kerajaannya merayu sumbangan dunia.

Marilah kita bersama-sama menyumbang, menerusi

Akaun Maybank :
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066

MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button