PalestinSemasa

Ops Ihsan : Agong berkenan periksa persiapan terakhir bantuan ke Gaza

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan ke Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan Ops Ihsan.

Ops Ihsan ialah misi bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Palestin yang telah dilancarkan sejak bermulanya perang Gaza-israel pada Oktober lepas.

Seri Paduka telah diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  untuk memeriksa bantuan yang dikumpulkan di gudang penyimpanan di terminal tersebut selain turut memeriksa bantuan yang dimasukkan ke dalam pesawat kargo sewaan khas. Sebelum itu, barang bantuan kemanusiaan itu terlebih dahulu dikumpul dan disusun di gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang sebelum dibawa ke situ.

Bantuan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalur kepada penduduk Palestin di Gaza.

Wisma Putra turut memaklumkan kerjasama rentas antara agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memastikan gerak atur proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza lebih tersusun, bersepadu dan efektif di bawah seliaan kementerian itu. 

Ia melibatkan 63 badan bukan kerajaan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas MAlaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), rakan logistik, rakan strategik dan rakan antrabangsa.

Antara NGO yang terlibat adalah seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MyAqsa Defenders, MyCARE,  Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Kembara Kitchen. 

Para sukarelawan terdiri daripada orang perseorangan (rakyat Malaysia dan rakyat Palestin yang bermastautin di Malaysia), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan jabatan-jabatan kerajaan telah berkampung di gudang MAPIM di Sepang bagi menguruskan bantuan yang tiba.

Ahmad Zahid semasa berucap pada majlis tersebut berkata, Ops Ihsan telah membuktikan keberkesanan dalam pengurusannya melalui penggunaan sumber dan kepakaran pelbagai organisasi yang terlibat secara tersusun dan efisien.

“Kerjasama yang julung kali diadakan ini ternyata berhasil. Kolaborasi ini berjaya mengelakkan pertindihan mahupun penyelewengan bagi memastikan bantuan yang diberikan jelas memenuhi keperluan, dan benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan,” katanya. 

 

Related Articles

Back to top button