DomestikSemasa

Remaja OKU lemas ketika mandi sungai

GUA MUSANG: Lima sepupu cemas melalui tragedi luar jangkaan apabila salah seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang turut mandi bersama, lembam lemas di Sungai Loji Air FELDA Chiku, di sini, semalam.

Anggota bomba menjumpai mayat Muhammad Hazim Mohd Bakri, 16, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka,  pada jam 1.12 tengah semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa bersama sepupunya, iaitu dua lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak sedang mandi di sungai berkenaan.

“Mangsa tiba-tiba menjerit minta tolong dan jeritan itu disedari oleh bapa saudaranya yang kemudian terjun untuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya disebabkan paras air yang dalam serta arus deras.

“Bapa saudaranya terus menghubungi keluarga mangsa dan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, seramai tiga anggota bomba menyelam ke dalam sungai dan mendapati mayat mangsa berada di dasar sungai.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati ada kesan lebam pada muka, dipercayai mangsa terjun ke dalam sungai dan terkena batu di dasar sungai.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut,” katanya. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button