Semasa

Kerajaan setuju buka 11 sektor ekonomi di negeri Fasa 1 PPN mulai esok

KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 11 kegiatan ekonomi sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan adalah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Selain itu, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Tambah Muhyiddin, kemudahan diumumkan itu boleh dilaksanakan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2, dengan syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan sudah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Selain itu, katanya, individu yang ingin memanfaatkan kemudahan yang diumumkan itu juga mestilah sudah menerima vaksinasi lengkap.

Negeri-negeri dalam Fasa 1 PPN buat masa ini ialah Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selain Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button