PendidikanSemasa

Malaysia bakal jadi negara pertama hasilkan Graphene

Graphene 200 kali ganda lebih kuat daripada logam

Pada tahun 2004, satu penyelidikan telah dijalankan oleh dua penyelidik Universiti Manchester, Andre Geim dan Kostya Novoselov berkaitan penghasilan Graphene yang berjaya menemukan cara mudah menghasilkan bahan tersebut.

Malaysia yang kaya dengan ladang kelapa sawit mampu menjadi negara pertama yang  menghasilkan Graphene secara besar-besaran, iaitu satu bahan yang dikatakan 200 kali ganda lebih kuat daripada logam walaupun bersifat nipis.

Menurut laman web Graphene.info, Graphene adalah blok binaan grafit dan satu karbon setebal satu atom yang tersusun dalam bentuk hexagon. Lebih menarik, produk ini  boleh dihasilkan menggunakan sisa isirong kelapa sawit.

Kelebihan lain Graphene adalah ia mempunyai tahap ketahanan yang tinggi terhadap api. Sifatnya yang ringan dan pengalir yang efektif juga membolehkan ia digunakan dalam pelbagai industri.

Teknologi yang dalam proses pempatenan berjaya dicipta oleh sebuah syarikat tempatan, Graphjet Technology Sdn Bhd bagi menghasilkan Graphene daripada sisa isirong kelapa sawit.

Memetik ciapan di Twitter Richard Ker, Graphene yang dihasilkan oleh syarikat tersebut dijangka akan dijual pada harga di antara RM90 hingga RM112 setiap gram walaupun harga puratanya boleh mencecah dari RM1,300 hingga RM1,700 setiap gram. Hal ini bagi membolehkan ia digunakan secara besar-besaran untuk pelbagai aplikasi.

Setakat ini, 30,000 tan sisa isirong sawit kering boleh menghasilkan 60 tan Graphene setiap tahun. Sekiranya semua proses berjalan lancar, Malaysia bukan sahaja bakal menjadi negara pertama yang menghasilkan bahan ini, malah berupaya mengeluarkan Graphene dalam skala besar.

Pelbagai pengaplikasian Graphene dalam teknologi sedang dibangunkan buat masa ini dan antara yang terawal adalah dalam penghasilan skrin telefon bimbit, bateri, kereta elektrik, dakwat, bahan komposit dan penapisan.

Dalam pada itu, satu perjanjian penggabungan telah ditandatangani melibatkan Graphjet Technology dan Energem Corp, sekali gus menjadikan nilai syarikat meningkat kepada RM 6.6 bilion. Mereka juga merancang untuk disenaraikan di Nasdaq tidak lama lagi bagi mendapatkan modal pengembangan operasi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button