Semasa

MAIWP salurkan bantuan keseluruhan bernilai RM2.5 juta

Hasil komitmen pembayar zakat di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan keseluruhan bernilai RM2.5 juta bagi Misi Bantuan Banjir di Johor dan Pahang hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata masing-masing negeri akan menerima barangan keperluan seperti selimut tebal, dapur memasak, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi dan telekung yang jumlah keseluruhan bernilai RM1 juta untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

“Selain itu setiap negeri juga menerima RM250,000 yang akan digunakan bagi membaik pulih kerosakan masjid dan surau,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata kemampuan untuk menyediakan peruntukan besar itu berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pembayar zakat MAIWP kerana menerusi pembayaran itu MAIWP  dapat melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button