DomestikSemasa

Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang untuk semua kaum – TPM

SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini membetulkan persepsi masyarakat bahawa Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang di Kemuyang dekat sini hanya untuk anak-anak yatim Islam sahaja.

Menurut beliau kompleks yang diuruskan oleh Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) adalah untuk menjaga sesiapa juga yang tergolong dalam kategori anak yatim tanpa mengira keturunan ataupun agama.

“Kita boleh menghantar anak-anak ke sini supaya mereka dapat diuruskan oleh PERYATIM. Bila cuti sekolah mereka boleh dihantar balik ke kampung dan sebagainya,” katanya semasa lawatannya ke kompleks tersebut hari ini.

Katanya, kompleks itu dapat membantu ibu atau bapa tunggal atau saudara mara yang kurang berkemampuan memberi asuhan, didikan dan tempat tinggal yang lebih baik kepada kepada anak-anak yang kurang bernasib baik.

Fadillah berkata kepimpinan Sarawak sama ada di peringkat negeri dan juga Parlimen akan sentiasa memastikan supaya anak-anak yatim terbabit terbela nasib mereka melalui pendidikan dan sebagainya agar mereka boleh berjaya pada masa akan datang.

Beliau meluluskan geran sebanyak RM100,000 untuk kompleks itu bagi mengatur program bagi kebaikan anak-anak yatim di situ.

Fadillah dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir berkesempatan beramah mesra dengan anak-anak yatim di kompleks itu selain meraikan sambutan hari jadi sembilan kanak-kanak yang lahir pada bulan Januari.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi Exco PERYATIM Sibu Datuk Mohamad Yusnar Matalie. – BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button