KerohanianSemasa

Dua juta jemaah Haji berkumpul, ibadah Haji 1444 bermula

Bermalam di Mina untuk memulakan 'perjalanan rohani sepanjang hayat'

MINA: Kira-kira 2 juta jemaah Haji telah berkumpul di kota khemah di Mina pada pagi Isnin untuk memulakan ‘perjalanan kerohanian seumur hidup’ untuk ibadah Haji 1444 yang sedang berlangsung.

Menjelang petang, tapak kota khemah itu bergema dengan alunan ‘Talbiyah’ para jemaah Haji, memasang niat berdoa untuk menunaikan Haji kerana kemuliaan Allah.

Jemaah lelaki memakai ihram dan wanita berabaya mengucapkan kata-kata, “Labbaik Allahumma Labbaik (Ya Allah, kami di sini menjawab panggilanmu),” ketika mereka bergerak ke tapak utama, kira-kira 8 kilometer sebelah timur laut Masjidil Haram di Mekah.

Mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, jemaah Haji menghabiskan hari pertama ibadah haji, yang dipanggil Hari Tarwiyah, dengan penuh pengharapan berdoa dan memohon keampunan dari Allah SWT untuk menebus dosa silam.

Mereka mendirikan solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak termasuk semalaman akan membuat persiapan terakhir mereka sebelum berdiri di hadapan Allah (wukuf) di dataran Gunung Arafah pada Selasa.

Suasana di Masjid Al Khaif, Mina pada Isnin. Kredit foto muslimmakkah

Selepas solat subuh (Fajr) pada hari Selasa, jemaah haji akan berangkat ke Gunung Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya lebih 1,400 tahun lalu.

Tahun ini menandakan kembalinya Haji berskala penuh buat kali pertama sejak permulaan pandemik COVID-19 dan pihak berkuasa Saudi telah menyediakan rancangan rapi untuk memastikan pergerakan jemaah Haji yang selamat dan sempurna.

Ini menjadi ziarah terbesar sejak pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan langkah pengurangan jumlah jemaah menunaikan ibadah itu kerana sekatan pandemik COVID-19.

Kira-kira 24,000 bas tersedia untuk membawa jemaah, tidak termasuk 17 kereta api yang membawa 72,000 penumpang setiap jam.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button