Semasa

Kerja pencucian ladang itik, angsa besar-besaran punca pencemaran bau

ADUN Kajang buat laporan polis

DENGKIL: Aktiviti pencucian secara besar-besaran yang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta kawasan perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pencemaran bau sehingga 11 ton dikenal pasti berlaku di muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih dan Sungai Langat pada tengah malam tadi.

Katanya, ia dikatakan berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang secara besar-besaran dengan bacaan pencemaran menurun kepada lapan ton, hingga jam 9.30 pagi tadi.

“Kerajaan Selangor sudah memaklumkan perkara ini kepada kerajaan Negeri Sembilan, selain pihak berkuasa di negeri berkenaan sudah diarah menjalankan siasatan sejurus aduan diterima.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan badan kawal selia air negeri berkenaan dikatakan akan mengenal pasti lokasi tepat pencemaran berbau bangkai yang dikatakan hasil daripada bahan organik,” katanya pada sidang media hari ini.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman turut hadir.

Semalam, LPA Sungai Semenyih dan Bukit Tapoi di sini, dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang.

Loy Sian berkata, dua pam berkapasiti 300 juta liter sehari (JLD), manakala dua lagi pam dengan kapasiti 27 JLD sudah diaktifkan, masing-masing di LPA Sungai Semenyih dan LPA Sungai Langat, bagi kerja pencairan pencemaran bau.

“Kedua-dua LPA yang ditutup ini dijangka dapat dibuka petang ini, jika bacaan pencemaran berada pada tahap sifar ton, selain lori tangki air sudah digerakkan ke lokasi terjejas.

“Kita juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkuasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

  • sumber: bharian.com.my

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button