Covid19Semasa

Kapasiti pemberian vaskin dipertingkat – Khairy

Tiga bulan akan datang jadi tempoh genting buat Malaysia

KUALA LUMPUR : Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyasarkan kadar purata vaksinasi meningkat kepada 300,000 suntikan setiap hari mulai bulan ini.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata kadar vaksinasi harian Malaysia melangkaui kadar purata per kapita vaksinasi dunia dengan mencatatkan jumlah 250,000 suntikan secara konsisten.

Katanya, sebagai perbandingan, jumlah vaksinasi yang telah direkodkan semenjak PICK bermula pada Februari lalu adalah sekitar lapan juta dos.

Pada Julai Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin lebih daripada 12 juta dos, menjadikan ia tempoh genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara.

“Tempoh tiga bulan akan datang menjadi tempoh yang sangat sibuk dan kritikal bagi pelaksanaan PICK berikutan Malaysia akan mula menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah yang besar.” katanya dalam rakaman video menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

“Usaha giat sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi akan datang dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), selain menambah tenaga kerja dan anggota sukarelawan.”

“Kini sebanyak 1,400 PPV beroperasi di seluruh negara dibuka dalam pelbagai bentuk bukan sahaja PPV Mega malah, PPV sementara di Perkampungan Orang Asli, di rumah ibadat, sekolah, universiti dewan komuniti, tempat-tempat kerja, kawasan ladang, restoran juga pandu lalu serta unit bergerak turut ditubuhkan.” – Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan vaksin CanSino yang ditempah dapat dihantar pada bulan ini.

Mengulas lanjut, selain selamat dan berkesan CanSino merupakan vaksin satu dos yang penting untuk memudahkan usaha vaksinasi kepada masyarakat di kawasan pedalaman atau golongan sukar mendapat perhubungan.

Katanya, vaksin CanSino juga akan digunakan kepada kumpulan pelarian bagi memastikan seramai mungkin individu mendapat perlindungan COVID-19.

“Bertepatan pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi yang membabitkan pembuatan pengangkutan, pembinaan dan perladangan.

“PICK mensasarkan 300,000 pekerja sektor ekonomi penting dan perlu mendapat vaksinasi dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya.

Khairy juga memaklumkan bahawa Malaysia sentiasa memantau dan meneliti data-data keberkesanan vaksin terutamanya dalam keadaan penularan varian Delta B1617.2 dan juga varian-varian lain.

“Seperti negara-negara lain, Malaysia juga sedang mengkaji sekiranya terdapat keperluan untuk memberikan suntikan tambahan atau suntikan penggalak yang ketiga.

“Kemungkinan besar COVID-19 akan terus ada menjadi endemik dan vaksinasi berkala diperlukan,” tambah beliau.

Demi kesenangan rakyat sepanjang tempoh vaksinasi, aplikasi MySejahtera akan sentiasa ditambah baik daripada semasa ke semasa bagi memudahkan apa-apa kesulitan dapat diatasi dengan kadar segera.

Tambah beliau, mutu perkhidmatan di setiap PPV juga akan diperbaiki termasuklah tahap penyampaian yang berkualiti disampaikan setiap sukarelawan dan petugas.

Khairy menyeru kerjasama dari setiap kelompok masyarakat adalah penting bagi membolehkan PICK mencapai kejayaan kerana tempoh beberapa bulan akan datang bakal menentukan kejayaan Malaysia.

“Insya-Allah dengan usaha berterusan yang kita sama-sama lakukan, kita mampu mencapainya.” katanya dalam hantaran video yang dimuat naik hari ini.

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom / AJ

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button