Semasa

Jururawat, pemandu Pejabat Kesihatan maut

Kemalangan babitkan 3 kenderaaan

PEKAN : Kementerian Kesihatan Malaysia hilang lagi – kakitangan berdedikasi selepas seorang jururawat dan pemandu kenderaan pacuan empat roda Pejabat Kesihatan Daerah Pekan maut dalam kemalangan.

Kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Pekan-Nenasi pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.20 pagi itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan seorang penumpangnya, Julayha Kudus, 39, iaitu merupakan seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Turut berada dalam kenderaan itu ialah pegawai perubatan, Muhd Ikhwan Ramlee, 29, yang cedera di bahagian kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41, dari Rompin bersama anak perempuan berusia lima tahun cedera manakala anak lelakinya berusia 12 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba dari BBP Nenasi melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan melibatkan kenderaan KKM dan lori tangki di Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi. – Foto ihsan JBPM Pahang

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 34 tahun juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati lori tangki tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta serta kenderaan milik KKM yang dinaiki mangsa,” katanya.

Mohd Razli berkata, akibat kejadian itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button