HiburanSemasa

Industri animasi terus membangun pesat, Arab Saudi-Jepun kerjasama hasilkan filem `The Journey’

Kisah epik pembebasan penduduk Mekah daripada isu penghambaan

JEDDAH 2 Mac : Perkembangan filem animasi semakin mendapat tempat bagi penggemar animasi dunia.

Pada tahun 2018, pasaran animasi dunia dilaporkan berjumlah ASD$259bilion dan sehingga tahun lalu mencapai ASD$270 bilion.

Peningkatan ketara daripada bermulanya filem kartun Nemo, Lion King, Shrek yang bukan sahaja diikuti kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa, terus segar hinggalah kepada pembikinan filem animasi terkini, dengan kewujudan sekuel filem seterusnya seperti filem Frozen.

Malah di negara ini tidak ketinggalan dikatakan Filem Ejen Ali , Boboi Boy juga mencetuskan fenomena bukan sahaja kepada pengeluar filem genre baharu, malah juga pengikut dan peningkatan pelajar dalam bidang animasi.

Malaysia juga mempunyai potensi besar dalam industri kandungan kreatif digital.

Pada 2019, tiga filem besar animasi  – berjaya mendapat pengiktirafan dunia berjumlah ASD$20.6 juta iaitu Upin & Ipin: Keris Siaman Tunggal, Ejen Ali: The Movie and BoBoiBoy The Movie 2.

Ia mencatat kejutan apabila semakin banyak produk animasi digital berlabel  Made in Malaysia diterima baik di pasaran antarabangsa.

Sejajar perkembangan pesat industri itu, buat pertama kalinya pengeluar animasi terkenal Arab Saudi bergabung dengan pengkarya Jepun yang terkenal dengan dunia animasinya.

Syarikat filem animasi terkenal, Manga Production mengorak langkah dalam pembuatan filem animasi dengan kerjasama Jepun, berjudul `Satu Perjalanan ‘ atau Rehlah dalam bahasa Arab.

`The Journey’ yang masih dalam pembikinan, melancarkan promosi filem atau trelernya  pada 1 Mac lalu.

Penggemar filem animasi pasti teruja dengan tontonan filem terbabit yang menyaksikan penggunaan teknologi 4DX yang unik, memaparkan simulasi kesan khas di atas layar.

Pelancaran video promosi filem berkenaan juga dilakukan sempena Festival Filem Antarabangsa Berlin yang bermula Isnin lalu.

Promo treler berdurasi 1 minit 45 saat itu terdapat dalam bahasa Arab dan Jepun bersarikata Inggeris,  ditayangkan di platform media sosial Manga Production dan Vox Cinemas.

“The Journey,” bakal menemui peminat anime pada musim panas tahun ini di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara dan bakal diedarkan oleh syarikat Jepun, T-Joy Company.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dr. Essam Bukhari berkata filem itu diarah dan diterbitkan oleh sekumpulan pakar animasi didatangkan khas dari Jepun dan Arab Saudi.

“Video itu akan ditayangkan di rantau ini dan ke seluruh dunia untuk menonjolkan budaya dan sejarah kami (orang-orang Arab) dari semenanjung Tanah Arab. Malah yang pertama diterbitkan Manga Productions untuk tayangan Timur Tengah dan dunia.” – Ketua Pegawai Eksekutif / Dr. Essam Bukhari

Arab news melaporkan, Dr Essa, yang juga Penerbit Eksekutifnya berkata – filem ini mengisahkan mengenai sejarah Semenanjung Arab pada era 1,500 tahun lalu dan zaman kebangkitannya.

Ia merujuk kepada kisah seorang pemuda, Aws, seorang pembuat tembikar yang terbabit dalam peperangan epik mempertahankan tanah kelahirannya dan pembebasan daripada perhambaan.

Kerjasama ini adalah dengan studio animasi terkena Jepun, Toei Animation.

Ia menerima sentuhan pengarahan animasi terkenal Jepun Kobun Shizuno, yang juga pernah menghasilkan  “Godzilla: City on the Edge of Battle” and “Detective Conan.”

Manga Productions juga membawa bersama beberapa pelakon suara latar Jepun dalam filem animasi ini seperti Hiroshi Kamiya, Takaya Kuroda, Toru Furuya dan banyak lagi.

Manakala pelakon terkenal Arab juga akan diambil bagi rakaman suara latar `The Journey’ seperti Nassar Al-Nassar, Abdo Chahine dan Rasha Rizk.

Bagi Ketua Penasihat Toei Animation, Shimizu Shinji, perbezaan yang ketara di antara rantau Arab dan Timur dari sudut budaya, dan norma hidup, adalah satu cabaran buat pengkarya dalam penghasilan The Journey.

“ Dengan pengawasan dan bantuan dari pasukan Arab Saudi kami berupaya menangani perbezaan ini dan mendapatkan bahan untuk menyiapkan filem ini”

Bagaimanapun katanya banyak persamaan didapati juga dalam penghasilan The Journey, terutama kata Shinji dalam watak hero mempertahankan orang yang mereka hormati dan sayangi adalah persamaan dalam watak dan budaya dimiliki orang-orang Jepun.

Manga Productions adalah anak syarikat Yayasan Mohammed bin Salman, dan mengkhusus dalam pembikinan kandungan kreatif melalui animasi, permainan video dan komik mensasarkan pelbagai kumpulan sosial dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.

Baru seminggu pelancaran trelernya, ia sudah ditonton seramai lebih 500,000 tontonan di platform YouTube.

 

 

Related Articles

Back to top button