DomestikSemasa

Semak dahulu TNG sebelum pulang beraya

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menasihatkan pengguna jalan raya untuk menyemak status kad Touch ‘n Go sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabid, berkata sekiranya status kad Touch ‘n Go tidak aktif atau tamat tempoh pengguna lebuh raya tidak dapat melepasi plaza tol, sekali gus boleh menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas di plaza tol tersebut.

“Kami menasihatkan pelanggan yang mempunyai kad Touch ‘n Go tidak aktif atau tamat tempoh untuk segera mendapatkan kad baharu daripada peruncit dan ejen jualan sah seluruh negara.

“Sebagai alternatif, mereka boleh menggunakan MyKad serta ahli kad kesetiaan Watsons yang turut dilengkapi cip Touch ‘n Go dan boleh ditambah nilai untuk kegunaan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, pengguna lebuh raya boleh lakukan semakan status kad Touch ‘n Go mereka di laman sesawang TNG sebelum memulakan perjalanan.

“Memandangkan pengguna lebuh raya tidak berpeluang melakukan perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, kad Touch ‘n Go mereka tidak lagi aktif apabila tiada transaksi tol dibuat dalam tempoh 12 bulan berturut-turut.

“Bagi kemudahan tambah nilai, PLUS menyediakan pusat tambah nilai di Rehat dan Rawat (R&R) terpilih, mesin juruwang automatic (ATM) dan kedai serbaneka di sepanjang lebuh raya PLUS, serta kemudahan lain termasuk 67 kiosk layan diri (SSK) di plaza tol terpilih,” katanya.

Zakaria berkata, di sepanjang lebuh raya PLUS terdapat 22 kaunter Touch ‘n Go di stesen minyak terpilih  yang membolehkan mereka membuat tambah nilai tanpa caj.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemudahan tambah nilai Touch ‘n Go, melalui laman sesawang mereka dan boleh menghubungi Touch ‘n Go Careline.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button