Covid19Semasa

“Gugurnya seorang pejuang”

Letih, pengsan ketika bertugas - Al Fatihah

“Assalamualaikum, suami saya Dr Ali Noor Hassan telah kembali menemui pencipta sekejap tadi. Jenazah akan diuruskan Di masjid Bandar Tun Hussein Onn jam 10:00 pagi (semalam) dan akan dikebumikan di Suakekal,  tanah perkuburan Bandar Tun Hussein Onn. Jika Ada hutang beliau yg belum dituntut mohon PM saya (isterinya).’’

Demikian padat, ringkas, permohonan daripada seorang isteri yang menjadi saksi kepada kematian orang yang menjadi teman hidup sekian lama, namun kini berada di alam lain yang memisahkan dirinya dan keluarga serta dunia.

Nukilan hati isteri, Allahyarham Dr. Ali Noor Hassan, itu ditulis beliau pada FB suaminya selepas kembalinya ke rahmatullah pada Selasa awal pagi semalam.

Dr.Ali, seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Memetik akhbar harianmetro, berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB), semalam.

Menerusi hantaran itu, SPJM memaklumkan, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham Dr Ali Noor Hassan melalui akaun FB miliknya.

“Arwah adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada dua tahun lalu.

“Dr Ali dikhabarkan sebagai seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak atau perhimpunan jemaah tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,” katanya.

Menurutnya, SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” katanya.

Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.

Pemergian beliau turut dikongsi para netizen malah turut dikongsi pemimpin negara, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang menyebut pengorbanan besar dilakukan Allahyarham demi kesihatan dan nyawa insan lain.

Sementara itu ibarat seorang jeneral menghargai gugurnya patriot beliau, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Hisham Abdullah terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya.

Malah pesanan berikut juga dititipkan beliau buat seluruh rakyat Malaysia. Saban hari diungkapkan kepada seluruh 32 juta orang rakyat Malaysia.

FB Tan Sri Hisham Abdullah

Apakah lagi yang hendak kita nafikan iktibar yang dipapar di depan mata, pengorbanan mereka yang berjuang memerangi Covid-19.

Perang belum berakhir, malah pejuang yang lari daripada medan peperangan dianggap pengecut

Kesetiaan untuk berperang ini penting dalam tempoh pandemik bermaharajalela, hargai pengorbanan barisan hadapan dan teruskan perjuangan walau hanya sekecil – duduk di rumah!

Semoga segala bakti dan khidmat yang dimanfaatkan Allahyarham Dr Ali Noor Hassan diterima Allah SWT.

Al Fatihah

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button