KerohanianSemasaSyariah
Trending

Golongan Murtad Buat Pengakuan Secara Terbuka, Apa Tindakan Kita?

Terdahulu, tular di media sosial video klip pengakuan murtad seorang lelaki disyaki berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian berstatus Pastor yang telah viral di Malaysia. Kini gerakan ‘Jom Murtad’ pula dimulakan. Walaupun Malaysia sedang sibuk membendung virus Covid-19, ada saja isu-isu sensitif tular di media sosial.

Beberapa individu berbangsa Melayu di laman sosial Facebook telah menulis di Facebook peribadi mereka mengajak umat Islam untuk murtad dan memeluk agama Kristian. Mereka menulis alasan-alasan dan sebab mereka keluar Islam, ada yang memuat naik video di laman Youtube tentang sejarah mereka keluar Islam.

Pastinya ada yang mengeluarkan ayat-ayat tomahan di ruangan komen. Ini membuatkan saya terkejut dengan reaksi netizen kerana ayat yang dikeluarkan itu begitu ‘ekstrim’, amat sedikit yang mendoakan untuk pulang ke agama asal. Jadi pelbagai artikel agama dan video ceramah tentang murtad ini saya hadamkan.


Foto : Selebriti Ezany Nizariff membuat laporan polis tentang individu tersebut.

 

Tiada paksaan dalam beragama, namun…

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Al-Baqarah 2:256)

Hanya Allah pemegang hidayah, hanya Allah yang berkuasa kepada siapa hambanya yang Dia akan beri. Bukan netizen, bukan ustaz-ustaz, bukan pemerintah negara. Apatah lagi jika kita mengeluarkan kata-kata keji kepada mereka, daripada mahu bertaubat, lagi benci kepada Islam. Lebih baik menghormati dan menyeru ke arah kebaikan sahaja, namun bukan dengan tomahan.

“Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan isu murtad sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja.

Beliau berkata, ia menyentuh soal keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan yang mana kealpaan, kecuaian dan sikap sambil lewa dalam memelihara akan menyumbang kelemahan dan kemunduran Islam pada masa akan datang.

Buya Yahya berkata dalam kuliahnya apabila ditanyakan tentang orang keluar Islam, “Murtad adalah khianat yang paling besar kepada Allah.”

“Jika kita punya jiran yang beragama (asal) Nasrani, kita punya kewajipan fardhu kifayah untuk menguruskan jenazah mereka kalau mereka meninggal dan tiada siapa yang mengurus mereka. Tapi spesial orang murtad, dia tidak terhormat, tidak jatuh hukum wajib seperti orang lain untuk mengurus mereka , boleh di biar begitu sahaja, bahkan di beri (makan) serigala bangkainya” tambahnya lagi.

Itu lah ketegasan para ulama’ terhadap orang murtad.

Isu Pendakwah Kristen vs. Pendakwah Islam

Baik, melalui artikel ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DARI PERSPEKTIF HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia, ada beberapa poin yang menarik untuk diketengahkan.

Permasalahan kebebasan beragama di Malaysia banyak disentuh khususnya dari perspektif hak asasi dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu yang selalu dibangkitkan ialah setakat mana kebebasan seorang Islam itu mengamalkan agamanya, murtad dan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. Selain Perkara 11, kebebasan beragama juga boleh dirujuk dalam Perkara 3(1), Perkara 10, Perkara 8 dan Perkara 12. Ini jelas menunjukkan bahawa kebebasan beragama diberikan kepada penganut agama Islam dan bukan Islam. Walau bagaimanapun, kebebasan dalam penyebaran beragama adalah tidak mutlak. Sebagai contoh, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang pengawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka dalam kalangan orang Islam dan orang Islam dibenarkan berbuat demikian. Perkara ini seperti berlaku ketidakadilan dalam kebebasan beragama. Namun, menurut Harding, peruntukan ini dimasukkan demi untuk memelihara kestabilan masyarakat (Harding, A. 2002).

Ya, ini sudah tertera dalam perlembagaan undang-undang di mana orang bukan Islam tidak boleh berdakwah untuk supaya orang islam memeluk agama mereka. Muktamad.

Kempen ‘jom murtad’ mereka ini jelas menentang undang-undang negara. Tambahan lagi banyak kes-kes seperti ini timbul seperti buku kartun tentang agama Kristian yang diedarkan kepada kanak-kanak untuk mereka berdakwah. Kerajaan Malaysia masih tidak melakukan tindakan yang keras terhadap pengedar.

Para pendakwah Islam sendiri pun tidak pernah membuat kempen supaya ‘specific’ penganut Kristian memeluk Islam. Kenapa perlu mereka bertindak menggunakan orang melayu murtad sendiri untuk berdakwah supaya lebih ramai orang murtad? Ini pasti membangkitkan isu sensitiviti di media sosial.

Biar Orang Bagi Racun, Kita Bagi Madu

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. ( al-An’am, 6:108)

Netizen-netizen perlu bersabar dan bijak dalam menangani isu ini dengan bermuhasabah diri serta banyakkan berfikir dan bertindak dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Wajarkah bersangka buruk dan mengkeji gerakan evangelisme Kristian? Atau lebih baik mencari kekuatan menghadapi mereka dengan ilmu yang sahih dan akhlak yang mulia?

Di manakah salahnya institusi pendidikan agama kita selama ini? Adakah kita lebih selesa dengan adat dan budaya yang hanya mewariskan Islam melalui keturunan, tetapi bukan melalui kefahaman dan kecintaan yang mendalam kepada Allah?

Justeru, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab menangani isu murtad secara kolektif, bangkit bersama-sama melindungi akidah dan agama. Dan yang paling utama adalah untuk sentiasa berdoa kepada Allah kerana Dia jualah sebaik-baik Pengadil dan Pemberi Balasan.

(Artikel ini ditulis bersama Saudara Mohammad Syukri bin Mohd Zoharodzi)

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button