Covid19DuniaKesihatan

Doktor ER Di New York Tamatkan Nyawa Sendiri Akibat Tekanan Hadapi COVID-19

Tekanan mental dijangka penyebab kematian kedua tertinggi menjelang 2020

NEW YORK – Seluruh dunia khususnya warga Amerika Syarikat dikejutkan dengan berita sedih apabila seorang doktor pakar ER (bilik kecemasan) yang bertungkus lumus di barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 disahkan mati akibat perbuatan bunuh diri.

Dr. Lorna Breen, 49, merupakan ketua Jabatan Kecemasan di di hospital New York-Presbyterian Allen dan dikatakan tiada sejarah penyakit psikologi sebelum ini. Walau bagaimanapun, menurut keluarganya, Lorna mula menunjukkan beliau hilang tumpuan dan kepenatan dengan segala yang dialami di tempat kerjanya yang dipenuhi pesakit positif COVID-19.

Ayahnya memberitahu New York Times bahawa beliau pernah menceritakan betapa sukarnya pengalaman menghadapi cabaran disebabkan pandemik ini kepada semua petugas kesihatan, terutama sekali yang menyedari betapa sukarnya untuk menyelamatkan pesakit Covid-19.

Sebelum kejadian itu, Lorna sendiri telah dijangkiti COVID-19 dan kembali bertugas setelah sembuh sepenuhnya atas dasar tanggung jawabnya dalam membantu di fasiliti kesihatan ketika menghadapi situasi pandemik corona virus.

“Dia cuba melaksanakan tugasnya, dan ia telah membunuhnya.” Kata bapanya lagi.

Di luar pekerjaannya, Lorna digambarkan sebagai seorang penganut agama Kristian yang taat dan sangat rapat dengan keluarganya. Dia adalah seorang penari salsa, menggemari aktiviti ski dan merupakan sukarelawan mingguan di rumah orang-orang tua.

New York mencatatkan 17,500 kematian akibat COVID-19, lebih 30% dari jumlah keseluruhan kematian di Amerika Syarikat setakat Selasa lalu

……………………………………….

Tekanan merupakan satu fenomena yang penting dan seringkali dikaitkan dengan prestasi kerja, kesihatan dan tahap produktiviti individu atau pekerja.

Dari sudut psikologi pula, seseorang yang mengalami tekanan akan berada dalam kebimbangan, daya tumpuan rendah, bingung dan cepat marah. Manakala daripada segi fisiologi pula, individu akan mengalami ketegangan otot, sakit kepala, sakit belakang,insomnia, serangan jantung dan tekanan darah tinggi.

Setiap tiga daripada 10 rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas (atau 29.2 peratus) mengalami pelbagai masalah kesihatan mental. Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung.

Nampaknya majoriti masyarakat sekarang cenderung ke arah rasa tertekan dengan kehidupan. Ini sangat bahaya kerana masalah tekanan perasaan boleh membunuh diri seseorang individu dalam diam.

Tanda-tanda awal tekanan

  1. Mudah hilang tumpuan
  2. Mudah melenting atau naik angin
  3. Tidak bertenaga dan mudah lesu
  4. Cepat panik dengan semua perkara
  5. Kesedihan berpanjangan
  6. Mula tidak pedulikan persekitaran
  7. Hilang keyakinan diri
  8. Lebih suka menyendiri
  9. Keinginan mencederakan diri sendiri atau orang lain
  10. Hilang selera makan

Cara untuk mengatasi tekanan

1. Sistem sokongan

Dalam kehidupan kita ini, kita perlu mempunyai rakan atau individu yang boleh dipercayai seperti ahli keluarga atau orang yang boleh dipercayai dan boleh mendengar, membantu dan mengurangkan tekanan. Menyuarakan emosi adalah sebahagian proses membantu diri apabila menghadapi tekanan. Bagaimanapun, cari orang yang kita boleh percaya dan jangan sesekali meluahkan perasaan menerusi media sosial.

Kerajaan Malaysia menyediakan Talian Kasih di talian 15999 bagi mana-mana individu yang memerlukan bantuan atau tempat untuk mengadu tentang apa-apa masalah yang sedang dihadapi.

2. Sayangkan diri sendiri

Individu yang tahu menghargai diri tidak akan melakukan perkara di luar tabie mereka dan serterusnya berusaha memajukan diri untuk meneruskan hidup dengan keadaan baik dan sejahtera. Sekiranya berlaku sesuatu yang menyedihkan, jangan biarkan diri bergelumang dengan perasaan tersebut kerana lebih banyak perkara yang menggembirakan yang kita layak alami di luar sana. Maka bebaskan diri dari kepompong dan hayati kehidupan yang dianugerahkan sebaik mungkin.

3. Lakukan senaman

Aktiviti dan pergerakan mental dan fizikal akan menyebabkan seseorang itu hilang perasaan bimbang dan tekanan perasaan. Ianya bukan sahaja dapat membantu melancarkan peredaran darah, tetapi juga mengeluarkan endorfin yang menghantar signal ke otak untuk mencetuskan daya fikir positif, malah memberi ruang untuk berfikir dan mencari ilham.

4. Dekatkan diri dengan Tuhan

Semua agama mengajar penganutnya untuk sentiasa dekatkan diri kepada kebaikan supaya hidup menjadi lebih tenang. Untuk orang Islam, kita digalakkan untuk melaksanakan solat terutamanya di waktu malam dan memperbanyakkan zikir apabila dilanda kesedihan atau kemurungan.

Bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

– Surah al-Rad, ayat 28

Masyarakat umum disarankan untuk tidak ambil mudah tentang ilmu psikologi kerana ianya merupakan satu keperluan yang amat penting dalam memastikan kehidupan yang sejahtera.

Yang paling penting adalah untuk sentiasa bersikap terbuka dan tidak mudah menghakimi seseorang yang mengalami masalah tekanan kerana ianya juga adalah satu penyakit yang boleh diubati jika dirawat dengan segera dengan bantuan dari doktor perubatan.

(Artikel ini disumbangkan oleh Syukri Zoharodzi pegawai pelatih MAPIM Malaysia)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button