Covid19Semasa

Belum ada bukti jelas Ivermectin berkesan rawat COVID-19

KKM gesa rakyat jangan terlalu gelojoh syorkan sesuatu yang tidak sahih

KUALA LUMPUR :  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan belum ada bukti kukuh penggunaan  Ivermectin berjaya merawat pesakit COVID-19.

Menerusi laman Twitter KKM, produk Ivermectin yang tidak berdaftar dengan KKM dirampas dalam operasi pada 14-17 Jun di  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dimaklumkan semua produk Ivermectin yang berdaftar di bawah KKM hanya untuk kegunaan haiwan sahaja.

Pada 5 Jun, KKM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) menjalankan ujian klinikal di 12 hospital bagi mengesan keberkesanan penggunaan Ivermectin untuk merawat golongan berisiko tinggi COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah  memberitahu Ivermectin merupakan sejenis ubat antiparasit yang mendapat kelulusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

Biarpun ubat ini telah digunakan secara meluas dalam merawat pelbagai penyakit antaranya penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Namun, tiada bukti konkrit Ivermectin ini disyorkan untuk membantu mengawal pandemik COVID-19.

Sementara itu, FDA juga menolak penggunaan Ivermectin terhadap manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya menyarankan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal sahaja, di mana pesakit perlu sentiasa dipantau oleh doktor pakar dan penyelidik untuk menjamin keselamatan. – BH

Oleh : Wartawan Ummah Today – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

Related Articles

Back to top button