Semasa

Belia harus persiapkan diri menjadi pendakwah

KUALA LUMPUR: Seminar Pembangunan Generasi Muda Masjid Kebangsaan 2023 telah diadakan bagi mempersiapkan para belia sebagai pendakwah dan penggerak masyarakat madani di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu, 13 Mei 2023.

Seminar Pembinaan Generasi Muda Masjid Kebangsaan ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan menghimpunkan para belia bagi bersama-sama meraikan seminar ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

Menurut Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, beliau menggesa anak-anak muda untuk menghasilkan kandungan dakwah di media sosial bagi mendidik rakan sebaya mereka di Facebook, Tik-Tok, Twitter dan Instagram.

Tambahnya lagi, selari dengan perkembangan industri digital masa kini, pemimpin belia perlu lebih agresif menghasilkan kandungan dakwah yang berasaskan fakta, ilmu yang menarik, kreatif serta interaktif.

“Saya berharap generasi muda dapat menghayati idea Malaysia Madani ini serta turut menyumbang tenaga dan pemikiran bagi menjadikannya sebagai cara hidup yang lebih positif untuk umat Islam di Malaysia.”

“Terdapat 5 Teras dan 10 Fokus Gerak Kerja bagi menjayakan gagasan Malaysia Madani ini. Teras yang dimaksudkan ialah Pentadbiran Islam Mampan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta, Kesejahteraan Insan dan Kehormatan Institusi Islam.”

“Sementara 10 Fokus Gerak Kerja pula ialah Pengislahan dasar dan tadbir urus institusi Islam, Kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, Memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam serta Pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti,” katanya.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut berkata, masyarakat kini seharusnya menerima hakikat bahawa anak-anak muda yang sedang berhadapan dengan krisis nilai dan moral.

“Hari demi hari, akhlak dan nilai anak-anak muda semakin terhakis. Gejala keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, zina dan seribu satu lagi gejala sosial. Oleh yang demikian, inisiatif Dewan Pemuda Masjid Malaysia mengadakan seminar ini, adalah usaha yang sangat terpuji.”

“Membina generasi muda masjid adalah agenda yang sangat penting bagi mengukuhkan masa depan institusi masjid di negara kita”, tegasnya lagi.

Orang yang mempunyai keimanan yang mantap, pasti akan memakmurkan rumah Allah dengan apa jua pendekatan.

Related Articles

Back to top button