DuniaEkonomiKemanusiaanKerohanianSemasa

Ketika anjing liar di Istanbul menjadi bintang filem

Ia menyelusuri kota Istanbul

Zeytin, Nazar, dan Kartal adalah tiga ekor anjing liar yang hidup dengan cara mereka tersendiri di Kota Istanbul. Zeytin gemar menjelajah jalan-jalan di Istanbul pada waktu malam, Nazar pula adalah anjing yang senang mesra walaupun dengan orang asing, manakala Kartal pula hidup di kawasan pembinaan yang sibuk di kota itu.

Ketiga-tiga ekor anjing itu akan menjadi watak utama dalam filem dokumentari yang bertajuk ‘Stray’. Kisah kehidupan anjing-anjing liar di Istanbul melalui pandangan tiga ekor anjing tersebut yang menyusuri Bosphorus, mencari makanan, dan berpetualang di jalanan penuh bahaya.

Filem dokumentari ini diarahkan oleh Elizebeth Lo, pengarah kelahiran Hong Kong. Menurutnya dia terinspirasi daripada kesedihan kehilangan anjing kesayangannya semasa kecil. Dia tertarik dengan undang-undang Turki 2004 yang mewajibkan haiwan liar dilindungi daripada kekejaman dan harus dilayan dengan baik.

Menurutnya, “Saya ingat lagi semasa ke Istanbul… saya melihat anjing-anjing itu dijaga dengan baik oleh komuniti di situ, dan mereka dapat bersahabat baik dengan semua orang di sekeliling mereka. Saya sangat kagum.”

“Saya mahu mendokumentasikannya, agar seluruh dunia dapat melihat dan kita dapat tanya kembali diri kita bagaimana hubungan kita dengan spesis lain, terutamanya dengan anjing.”

Zeytin, bintang filem itu ditemui oleh Lo di dalam sebuah terowong ketika ia berkejaran dengan pelarian Syria, yang menjadi sangat dominan dalam dokumentari kerana hubungan rapat mereka dengan anjing-anjing liar tersebut.

Lo menyediakan jaket khas yang digunakan oleh anjing-anjing tersebut bagi meletakkan kamera. Di mana anjing-anjing itu akan berlari-lari, atau berbaring di sebelah orang asing sambil mendengar perbualan mereka.

“Ini adalah… perbualan tentang perempuan dan cinta, ia mengenai perkara-perkara yang dekat di hati saya, juga tentang perbualan yang Zeytin dengar secara tidak sengaja.”

Ditanya apa yang hikmah yang dia peroleh daripada pembikinan filem dokumentari pada tahun 2017 dan 2019 itu, Lo menjawab,

“Saya beranggapan, kota-kota yang mempunyai haiwan gelandangan yang besar tidak punyai kemanusiaan atau tidak menjaga haiwan itu dengan baik, tetapi sebalik yang terjadi.”

“Kota-kota yang langsung tidak punyai haiwan liar yang berkeliaranlah yang sebenarnya khianat terhadap anjing dan kucing, kerana mereka telah menyingkirkan haiwan-haiwan tersebut.”

Sumber : TRTWord / South China Morning Post

Related Articles

Back to top button